Dalam ayat 2, Allah meletakkan satu prinsip sosial yang amat mendasar, “Wa ta‘āwanū ‘ala al-birri wa al-taqwā wa lā ta‘āwanū ‘ala al-ithmi wa al-‘udwān.” Bertolong-tolonganlah dalam kebaikan dan ketakwaan, dan jangan bertolong-tolongan dalam dosa dan permusuhan. Ayat ini bukan sekadar seruan moral, tetapi asas pembinaan masyarakat beretika. Ia mengajar bahawa kebersamaan itu sendiri mesti dinilai. Tidak semua solidariti itu benar. Tidak semua kesepakatan atau keterikatan itu membawa kebaikan.
Dalam ayat 183 pula, Allah menegaskan bahawa tujuan puasa ialah “la‘allakum tattaqūn”, agar kamu bertakwa. Selama ini kita cenderung memahami takwa dalam kerangka peribadi, solat terjaga, puasa sempurna, zikir bertambah. Semua itu penting. Namun jika takwa berhenti pada ritual, ia belum mencapai maksudnya yang sebenar. Ramadan membentuk jiwa, tetapi jiwa yang dibentuk itu mesti melahirkan tindakan sosial. Dalam Quran juga menegaskan bahawa Insan yang terbaik mestilah memberikan manfaat kepada insan yang lain.
Di sinilah hubungan antara tanggungjawab peribadi dan tanggungjawab sosial menjadi terang. Takwa peribadi tanpa kesedaran sosial melahirkan individu yang mungkin soleh untuk dirinya, tetapi tidak menyumbang kepada masyarakat. Sebaliknya, aktivisme sosial tanpa asas takwa mudah terjebak dalam emosi dan kepentingan kelompok. Islam tidak memisahkan dua ranah ini. Pembinaan hati dan pembinaan sistem berjalan seiring. Kita memperbaiki diri, dan dalam masa yang sama memperbaiki persekitaran.
Prinsip ini menjadi semakin mendesak dalam era media sosial. Kita hidup dalam zaman di mana suara paling lantang sering dianggap paling benar. Algoritma mengangkat kandungan yang sensasi dan provokatif. Fenomena takut tertinggal arus menjadikan ramai orang menyertai gelombang kata-kata kasar dan penghinaan, sekadar kerana ia sedang menjadi perhatian. Di sinilah makna ta‘āwanū ‘ala al-birr wa al-taqwā diuji dalam bentuk baharu.
Algoritma tidak mengenal dosa atau pahala. Ia hanya mengira interaksi. Apabila masyarakat gemar kandungan berunsur kebencian, sistem akan memperbanyakkan kebencian. Dalam konteks ini, setiap klik, setiap kongsi dan setiap komen adalah penyertaan moral. Kita sama ada sedang menyumbang kepada budaya kebaikan, atau memperkukuh jaringan permusuhan.
Ujian takwa hari ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ujian kita ialah menahan diri daripada menyebarkan yang belum pasti, menahan jari daripada menaip yang keji, dan menahan emosi daripada menghukum tanpa ilmu. Berani bercakap benar walaupun tidak popular. Memilih kalimah yang baik ketika orang lain memilih celaan. Mengamalkan husnuzzan (bersangka baik) dalam budaya yang gemar mensensasikan kesilapan orang lain. Di sinilah disiplin takwa benar-benar teruji.
Islam menuntut kita menghubungkan langit dan bumi dalam satu nafas yang sama. Takwa bukan sekadar urusan sejadah, dan ta‘awun bukan sekadar urusan slogan. Ukurannya jelas, setiap pilihan kita sama ada menguatkan kebaikan atau menyuburkan keburukan.
Di penghujung Ramadan ini, persoalannya bukan berapa banyak ibadah yang telah kita kumpulkan, tetapi apakah kita benar-benar bersedia menjadi manusia yang lebih berani benar, lebih berdisiplin dalam kata dan tindakan, serta lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat.
Takwa bukan perasaan sementara yang hadir ketika ibadah malam, tetapi kesedaran yang membimbing keputusan harian. Ia menuntut keberanian, iaitu berani tidak menyertai arus kebencian walaupun bersendirian, berani mempertahankan adab ketika adab dianggap tidak relevan.
Inilah inti takwa sosial, kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhati, lalu kita memilih untuk konsisten dalam kebaikan walaupun tiada tepukan.
DR









