Ada satu ungkapan yang sering dikaitkan dengan Khabib Nurmagomedov, seorang juara peninju MMA dunia yang menarik untuk direnungkan,
“Ramai bukan Muslim tidak membaca al-Quran. Mereka tidak membaca hadis. Mereka membaca kamu.”
Ungkapan ini ringkas, tetapi ia menyentuh satu hakikat besar dalam Islam. Ramai manusia tidak mengenali Islam melalui kitab. Mereka mengenali Islam melalui orang Islam.
Sebab itu al-Quran menyebut Nabi Muhammad SAW sebagai ‘uswatun hasanah’, maknanya, sebagai contoh teladan yang terbaik. Rasulullah bukan sekadar menyampaikan wahyu, tetapi menunjukkan bagaimana wahyu itu hidup dalam bentuk akhlak, tindakan dan peribadi. Saidatina Aisyah pernah menggambarkan akhlak Baginda, akhlak Rasulullah itu adalah al-Quran.
Ini bermakna Islam bukan sekadar idea atau teori. Islam adalah akhlak yang hidup dalam diri manusia.
Seseorang mungkin tidak pernah membuka mushaf al-Quran. Tetapi dia boleh melihat Islam melalui kejujuran seorang Muslim ketika berniaga, kesabaran seorang Muslim ketika diuji, atau keadilan seorang Muslim ketika memegang tanggungjawab. Dari situlah gambaran Islam terbentuk dalam fikiran mereka.
Di sinilah pentingnya memahami fiqh dakwah. Dakwah bukan sekadar menyampaikan ajaran. Dakwah juga bermaksud mewakili ajaran. Jika akhlak pembawa dakwah rosak, dakwah itu sendiri akan kehilangan wibawa.
Tokoh dakwah Nusantara Mohammad Natsir, pernah mengingatkan bahawa kegagalan dakwah sering kali bukan kerana ajaran Islam itu lemah, tetapi kerana orang yang membawa Islam gagal menunjukkan keindahan akhlaknya.
Apabila akhlak tidak menyokong dakwah, kata-kata akan menjadi kosong.
Persoalan ini menjadi lebih penting apabila kita berhadapan dengan provokasi terhadap agama. Dalam realiti masyarakat, kadang-kadang Islam dihina, dipersenda dan difitnah. Dalam keadaan seperti itu, manusia mudah terdorong untuk membalas dengan kemarahan.
Namun al-Quran memberi panduan yang sangat jelas dalam Surah an-Nahl, serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik dan perbahasan yang terbaik.
Menariknya, ayat ini turun pada zaman Mekah ketika Nabi Muhammad SAW sendiri berhadapan dengan penghinaan yang sangat berat. Baginda dituduh gila, dituduh pembohong, dicaci dan dihina. Bahkan ada yang melemparkan najis kepada Baginda. Provokasi yang diterima Nabi dan umat Islam amat hina dan amat menjelekkan.
Tetapi ,ironinya, dalam keadaan itulah Allah mengajar Nabi supaya berdakwah dengan hikmah dan akhlak.
Ini satu pelajaran yang sangat besar. Nabi tidak pernah biadab walaupun Baginda dilayan dengan kebiadaban. Nabi tidak pernah menghina walaupun Baginda dihina. Nabi tidak membalas makian dengan makian.
Baginda tetap berdakwah dengan adab.
Di sini kita perlu bertanya dengan jujur kepada diri sendiri. Kadang-kadang kita merasakan kita sedang mempertahankan Islam dengan penuh semangat. Tetapi cara kita bercakap, cara kita menghina orang lain, atau cara kita melepaskan kemarahan sebenarnya tidak mencerminkan manhaj (jalan yang ditunjukkan) Nabi.
Soalnya sangat mudah.
Adakah kita lebih memahami perjuangan Islam daripada Nabi?
Sudah tentu tidak.
Jadi, yang kita nak jadi terpaling pejuang ni, dah kenapa?
Jika Nabi sendiri diajar oleh Allah supaya berdakwah dengan hikmah walaupun dihina, siapakah kita untuk memilih jalan kemarahan dan kekasaran?
Kadang-kadang ada orang menyangka semakin keras mereka bercakap, semakin kuat mereka mempertahankan agama. Hakikatnya tidak begitu. Kemarahan mungkin memuaskan emosi, tetapi ia sering menutup pintu dakwah.
Ketahuilah, dakwah tidak memerlukan orang yang paling marah. Dakwah memerlukan orang yang paling tenang, paling beradab dan paling berprinsip.
Kerana sebelum manusia membaca al-Quran, mereka terlebih dahulu membaca kita. Jika akhlak kita baik, orang akan melihat keindahan Islam. Tetapi jika akhlak kita kasar dan penuh kemarahan, maka itulah wajah Islam yang sampai kepada mereka.
Sebab itu,saya betul-betul mahu tanyakan soalan ini, yang saya fikir paling penting.
Jika kita tidak mengikuti contoh Nabi dalam berdakwah, maka sebenarnya kita sedang mengikut contoh siapa?
Siapa nak jawab?
DR





