Dalam banyak hadis, Nabi Muhammad SAW telah memberi peringatan bahawa akhir zaman akan dipenuhi dengan fitnah. Fitnah di sini bukan sekadar tuduhan atau cerita palsu, tetapi keadaan di mana yang benar dan yang salah menjadi kabur. Orang yang kelihatan membawa kebenaran belum tentu berada di jalan yang benar, dan yang bersuara lantang atas nama agama belum tentu benar-benar membawa ajaran agama itu sendiri.
Sebab itu Nabi pernah berpesan, “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” Pesanan ini bukan sekadar galakan untuk menyebarkan agama, tetapi peringatan bahawa apa yang disampaikan mestilah benar-benar datang daripada ajaran Baginda. Bukan daripada emosi, bukan daripada kepentingan kelompok, dan bukan juga daripada tafsiran yang dipengaruhi hawa nafsu manusia.
Dalam Khutbah Wida’, Nabi meninggalkan satu prinsip yang sangat jelas kepada umatnya. Baginda menyebut bahawa jika umat berpegang teguh kepada dua perkara, mereka tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Inilah kompas umat Islam sepanjang zaman. Apabila dunia menjadi semakin bising dengan pelbagai suara, pelbagai tafsiran dan pelbagai dakwaan perjuangan, umat tidak boleh bergantung kepada nama individu, gelaran atau imej yang dipaparkan. Ukurannya tetap sama: adakah ia selari dengan al-Quran dan as-Sunnah atau tidak.
Di sinilah ujian besar akhir zaman. Akan muncul orang yang mendakwa dirinya ulamak. Akan muncul orang yang mengaku pejuang Islam. Akan ada yang berpidato dengan ayat-ayat agama, mengangkat slogan perjuangan, bahkan menggunakan simbol-simbol Islam untuk meraih kepercayaan masyarakat. Tetapi Islam bukan sekadar slogan. Islam hadir bersama watak, akhlak dan adab yang dibentuk oleh al-Quran dan as-Sunnah. Jika kata-katanya keras tetapi akhlaknya jauh daripada rahmah, jika perjuangannya kononnya atas nama agama tetapi caranya dipenuhi fitnah, kebencian dan manipulasi, maka umat perlu berhati-hati.
Akhirnya ukuran sebenar bukan siapa yang bercakap, tetapi apa yang dibawa. Dalam zaman yang penuh kekeliruan ini, umat Islam tidak boleh terlalu mudah taksub kepada tokoh, kumpulan atau label. Al-Quran dan as-Sunnah adalah neraca yang menilai semuanya.
Kerana itu sebenarnya panduannya sangat jelas dan tersusun.
(A) Pertama, apa al-Quran kata. Al-Quran ialah sumber paling tinggi, wahyu yang menjadi asas segala hukum, nilai dan prinsip kehidupan manusia.
(B) Kedua, apa Nabi kata melalui sunnah Baginda. Nabi bukan sekadar menyampaikan wahyu, tetapi menjelaskan, mentafsir dan menunjukkan bagaimana al-Quran itu hidup dalam realiti kehidupan.
(C) Ketiga, apa ulamak (ilmuwan) kata. Mereka bukan sumber wahyu, tetapi pewaris ilmu yang membantu umat memahami al-Quran dan sunnah dengan disiplin ilmu yang betul.
Susunan ini penting. Ulamak dihormati kerana ilmu mereka, tetapi pandangan mereka tetap dinilai dengan neraca al-Quran dan sunnah. Dalam tradisi Islam yang sihat, ulamak atau orang bijak pandai ini sendiri tidak pernah meminta umat taksub kepada diri mereka. Mereka sentiasa mengingatkan bahawa jika pandangan mereka bertentangan dengan dalil yang sahih, maka dalil itulah yang mesti didahulukan.
Sebab itu para ulamak sejak dahulu sering mengajar umat membaca satu doa yang sangat mendalam maknanya, khususnya ketika berhadapan dengan zaman yang penuh kekeliruan.
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
“Ya Allah, tunjukkan kepada kami yang benar itu sebagai benar, lalu kurniakan kepada kami kekuatan untuk mengikutinya. Dan tunjukkan kepada kami yang batil itu sebagai batil, lalu kurniakan kepada kami kekuatan untuk menjauhinya.”
Doa ini sebenarnya sangat dalam maknanya. Ia bukan sekadar meminta supaya kita tahu mana yang benar dan mana yang salah. Lebih daripada itu, ia memohon agar Allah memberi kejelasan hati untuk melihat kebenaran, dan pada masa yang sama memberi kekuatan untuk tetap berpegang kepadanya walaupun tidak popular, atau bahasa sekarang, tidak viral.
Kerana dalam realiti akhir zaman, kadang-kadang yang salah kelihatan hebat, disokong ramai dan disebarkan dengan penuh keyakinan. Manakala yang benar pula kadang-kadang sunyi dan sendu, tidak glamour, tidak viral dan tidak mendapat tepukan. Malah dibenci, dicerca, dimaki siang dan malam, malah sentiasa difitnah serta menjadi mangsa politik kebencian. Dalam keadaan seperti itu, manusia bukan sahaja memerlukan ilmu, tetapi juga hidayah dan keteguhan hati.
Di sinilah relevannya satu lagi pesan Nabi yang sangat menyentuh tentang keadaan umat di akhir zaman. Nabi bersabda bahawa Islam bermula sebagai sesuatu yang asing atau dagang, dan pada satu masa nanti ia akan kembali menjadi asing. Lalu Nabi menyebut:
“Beruntunglah orang-orang yang asing.”
Para sahabat bertanya, siapakah yang dimaksudkan dengan orang-orang asing itu? Nabi menjelaskan bahawa mereka ialah golongan yang tetap memperbaiki keadaan manusia ketika masyarakat sudah rosak. Mereka ialah orang yang tetap berpegang kepada ajaran Islam ketika ramai orang meninggalkannya.
Akhirnya, mungkin akan tiba satu masa di mana berpegang kepada kebenaran membuatkan seseorang kelihatan asing. Bercakap benar membuatkan seseorang tidak disukai. Mempertahankan al-Quran dan sunnah membuatkan seseorang kelihatan seperti orang yang tidak popular dan ketinggalan zaman.
Tetapi ketahuilah, dalam sejarah para nabi dan orang-orang soleh, jalan kebenaran memang jarang dipenuhi orang ramai. Ia sering dilalui oleh mereka yang sanggup berjalan walaupun bersendirian. Maka, jika suatu hari nanti kita terasa asing kerana mempertahankan kebenaran dan keadilan, jangan terlalu gusar. Mungkin itulah tanda bahawa kita sedang berjalan di jalan yang betul.
Kerana dalam dunia yang penuh suara, kekeliruan dan dakwaan ini, akhirnya yang Allah cari bukan siapa yang paling popular… tetapi siapa yang paling setia kepada kebenaran dan keadilan.
DR





