Dalam sejarah Islam, antara tokoh yang sering disebut apabila berbicara tentang fitnah ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, beliau sebenarnya seorang tokoh yang cukup berpengaruh dalam kalangan masyarakat Khazraj. Bahkan menurut riwayat sirah, masyarakat Aus dan Khazraj ketika itu hampir bersetuju dan selangkah lagi untuk mengangkat beliau sebagai pemimpin utama di Yathrib. Dengan kata lain, beliau berada di ambang kuasa.
Namun sejarah berubah apabila Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Kehadiran Nabi membawa penyatuan yang luar biasa antara Aus dan Khazraj, dan masyarakat Madinah akhirnya menerima kepimpinan Rasulullah. Di sinilah bermulanya titik perubahan dalam hidup Abdullah bin Ubay. Kedudukan politik yang hampir menjadi miliknya tiba-tiba hilang. Rasa kecewa dan dengki mula membiak dalam dirinya. Barangkali telah mencapai tahap kebencian kepada Baginda Nabi.
Menariknya, sebagai ‘ahli politik’ yang berpengaruh di Madinah, Abdullah bin Ubay tidak menentang Nabi secara terbuka seperti tokoh Quraisy di Mekah. Dia memilih jalan yang lebih licik. Di hadapan Nabi, dia menunjukkan sokongan. Tetapi di belakang, dia merancang, menyebarkan cerita, memfitnah dan cuba merendahkan maruah Nabi. Inilah yang menyebabkan beliau kemudian dikenali dalam sejarah sebagai ketua golongan munafik di Madinah.
Salah satu contoh paling besar ialah peristiwa Hadith al-Ifk, fitnah terhadap Saidatina Aisyah RA. Riwayat menyebut bahawa antara individu yang paling aktif menyebarkan cerita itu ialah Abdullah bin Ubay. Fitnah itu tidak bermula dengan kekuatan hujah, tetapi dengan bisikan, sangkaan dan cerita yang disambung dari mulut ke mulut. Akhirnya ia menggoncang seluruh masyarakat Madinah.
Dalam peristiwa Hadith al-Ifk, yang mencipta fitnah itu hanya segelintir orang. Tetapi yang menyebabkan ia membesar dan menggoncang seluruh Madinah ialah orang yang menyambung cerita. Orang yang dengar, kemudian ulang. Orang yang tidak pasti, tetapi tetap bercerita. Sebenarnya, Al-Quran menegur sikap ini dengan sangat keras, kamu menyangka ia perkara kecil, sedangkan di sisi Allah ia perkara yang SANGAT BESAR. Saya tulis dengan huruf besar agar kita nampak betul.
Sebab itu Islam sangat keras dalam isu ini. Fitnah bukan sekadar dosa peribadi. Ia adalah racun sosial. Ia merosakkan kepercayaan, memecahkan masyarakat dan menjatuhkan maruah manusia. Kita juga jangan beri peluang dan ruang untuk fitnah berleluasa.
Dalam konteks kita hari ini, terutama bagi mereka yang berada dalam dunia pendidikan, tanggungjawab ini menjadi lebih besar. Kita bukan sekadar mengurus kerja harian. Kita juga membentuk cara masyarakat berfikir. Kita mendidik anak-anak supaya menghargai kebenaran, supaya tidak mudah percaya cerita yang belum pasti. Cerita fake satu hal, cerita half-truth pun sama. Cerita yang macam betul, tapi konteks tak betul, pun mengundang fitnah.
Lawan fitnah bukan sekadar dengan emosi. Kita lawan dengan ilmu dan disiplin. Kita cari maklumat yang benar. Kita semak sebelum percaya. Kita berhati-hati sebelum bercakap, tulis dan share.
Dan dalam konteks urusan bermasyarakat, kita diajar untuk taat kepada Allah, Rasul dan juga ulil amri (Pemerintah) selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Disiplin ini penting supaya masyarakat tidak hidup dalam keadaan kacau-bilau.
Fitnah biasanya berkembang dalam masyarakat yang hilang disiplin. Semua orang mahu bercakap, tetapi sedikit yang mahu menyelidik. Semua orang mahu menjadi hakim, tetapi tidak mahu mencari kebenaran. Sebab itu akhirnya persoalan ini kembali kepada satu perkara yang sangat asas, tak lain tak bukan, itulah dia TAQWA.
Ramadan sebenarnya datang untuk mengajar perkara ini. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ramadan mengajar kita menahan lidah, menahan emosi, menahan diri daripada bercakap perkara yang tidak pasti. Kerana orang yang benar-benar bertaqwa bukan sekadar menjauhi dosa besar. Dia juga berhati-hati dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan maruah orang lain.
Jangan jadi sebahagian daripada rantaian fitnah.
Dan jangan sekali-kali membiasakan masyarakat dengan pembodohan.
Ittaqullah. Takutlah kepada Allah.
Semoga kita semua mendapat Lailatul Qadr.
DR





