Dalam sejarah awal Islam, ada satu peristiwa yang pada zahirnya kelihatan kecil, tetapi sebenarnya sarat dengan makna yang besar. Ia bukan peperangan besar, bukan juga krisis yang menggoncang Madinah, tetapi sekadar pertelingkahan antara dua individu, seorang daripada Ansar dan seorang daripada Muhajirin. Pada awalnya, yang bertelagah hanyalah mereka berdua. Isunya kecil dan terbatas. Namun keadaan mula berubah apabila masing-masing menyeru kelompok mereka: “Wahai Ansar!” dan “Wahai Muhajirin!”
Saat itu, pertelingkahan peribadi mula membengkak menjadi pertarungan kelompok. Ia bukan lagi soal dua individu, tetapi sudah bertukar menjadi suasana “kita lawan mereka”.
Apabila perkara ini sampai kepada Nabi Muhammad SAW, Baginda terus menegur dengan nada yang sangat tegas:
“Adakah kamu menyeru dengan seruan jahiliyyah, sedangkan aku masih berada dalam kalangan kamu?”
Dalam riwayat lain, Baginda menyifatkan seruan itu sebagai sesuatu yang busuk. Teguran ini sangat besar maknanya. Nabi SAW bukan sekadar mahu menghentikan satu pergaduhan, tetapi mahu memadamkan api lama, iaitu api asobiyyah jahiliyyah yang bersumber daripada taksub kepada kelompok sendiri. Lebih berbahaya, pertelingkahan individu telah dimanipulasi menjadi seolah-olah pertelingkahan kaum dan kelompok.
Di sinilah kita perlu memahami dengan jelas bahawa Islam tidak menolak rasa cinta kepada bangsa, kaum, kabilah atau identiti. Itu fitrah manusia. Kita dibesarkan dengan bahasa, budaya dan latar yang membentuk siapa diri kita. Bahkan, keinginan untuk menjaga dan memartabatkan kelompok sendiri boleh menjadi satu kekuatan, jika dipandu oleh nilai yang betul.
Namun garis pemisahnya juga sangat jelas. Apabila cinta itu melampaui batas sehingga menutup mata terhadap kebenaran, di situlah ia berubah menjadi asobiyyah. Nabi SAW tidak pernah mengajar bahawa bangsa Arab itu lebih mulia secara automatik berbanding bangsa lain. Sebaliknya, Baginda meruntuhkan ukuran jahiliyyah itu secara total.
Dalam khutbah terakhir Baginda, ditegaskan bahawa tiada kelebihan orang Arab ke atas bukan Arab, dan tiada kelebihan bukan Arab ke atas Arab, melainkan dengan takwa. Itulah revolusi pemikiran yang dibawa oleh Islam.
Asobiyyah bukan sekadar perasaan sayang kepada kaum sendiri. Asobiyyah jahiliyyah ialah sikap mempertahankan kelompok sendiri tanpa peduli benar atau salah. Apa sahaja yang datang daripada “kita” dianggap betul. Apa sahaja yang datang daripada “mereka” dianggap salah. Neraca keadilan digantikan dengan neraca kepentingan kelompok.
Dalam bahasa yang paling mudah, asal geng kita, kita sokong; asal pihak lain, kita tentang.
Inilah penyakit yang Nabi SAW tegur secara terbuka. Baginda tahu, jika dibiarkan, ia bukan sahaja merosakkan hubungan sesama manusia, tetapi menghancurkan asas keadilan itu sendiri. Masyarakat Arab jahiliyyah sendiri mempunyai pengalaman pahit yang menunjukkan betapa dahsyatnya akibat sikap ini.
Antara contoh paling masyhur ialah Perang al-Basus, iaitu perseteruan antara kabilah Bakr dan Taghlib. Ia bukan bermula dengan perebutan kuasa besar atau isu strategik, tetapi hanya kerana seekor unta.
Dikisahkan seekor unta milik seorang wanita bernama al-Basus dibunuh oleh seorang lelaki daripada kabilah lain. Peristiwa kecil itu mencetuskan kemarahan, lalu dibalas dengan pembunuhan, kemudian dibalas lagi, hingga akhirnya menjadi peperangan yang berlarutan hampir 40 tahun.
Bayangkan, empat dekad pertumpahan darah hanya kerana satu insiden yang pada asasnya boleh diselesaikan dengan adil dan rasional.
Satu lagi contoh ialah Perang Dahis dan al-Ghabra’. Ia juga bermula dengan sesuatu yang kelihatan remeh, iaitu perlumbaan kuda antara dua kabilah. Apabila berlaku penipuan dalam perlumbaan tersebut, ia mencetuskan pertelingkahan yang akhirnya membawa kepada peperangan panjang antara kabilah Abs dan Dhubyan.
Apa yang sebenarnya berlaku di sini?
Bukan unta itu masalah utamanya. Bukan juga kuda itu isu yang sebenar.
Masalah sebenar ialah asobiyyah. Setiap pihak tidak mahu mengalah, bukan kerana mereka benar, tetapi kerana mereka merasakan mereka tidak boleh kalah. Maruah kabilah dijadikan alasan untuk mempertahankan tindakan walaupun jelas salah. Kebenaran tidak lagi menjadi ukuran. Ego dan kesetiaan buta mengambil alih.
Inilah wajah asobiyyah jahiliyyah yang Nabi SAW datang untuk runtuhkan.
Apa yang lebih penting, Nabi SAW tidak sekadar menegur, tetapi mendidik masyarakat untuk keluar daripada kerangka sempit ini. Kesetiaan dalam Islam bukan kepada kelompok, tetapi kepada kebenaran. Jika orang kita benar, kita sokong. Jika salah, kita tegur. Itulah integriti iman.
Persoalannya, di mana kita hari ini? Hari ini kita tidak bergaduh kerana unta atau kuda, tetapi kita berbalah kerana perkara yang kadang-kadang lebih kecil, seperti status media sosial, kenyataan yang dipetik di luar konteks, atau sentimen yang sengaja dipanaskan.
Namun kesannya tetap sama, iaitu perpecahan, kebencian dan konflik yang berpanjangan. Isu yang khusus digeneralisasikan menjadi isu umum. Kesalahan individu dihamparkan kepada seluruh kelompok. Seorang yang biadab melakukan kesalahan, lalu keseluruhan kaum atau kumpulan dituduh sama.
Jika kita jujur, kita akan dapati bahawa seruan jahiliyyah itu tidak pernah benar-benar hilang. Ia hanya berubah wajah. Jika dahulu ia berasaskan kabilah, hari ini ia muncul dalam bentuk kaum, politik, ideologi, organisasi, malah kumpulan media sosial.
Bezanya cuma medium. Rohnya masih sama.
Inilah yang patut merisaukan kita. Kerana jika perkara kecil boleh membesar menjadi konflik besar hanya kerana asobiyyah, maka masyarakat kita sebenarnya sedang berdiri di atas garis yang sangat rapuh.
Hari ini, asobiyyah tidak lagi dilaungkan di medan perang, tetapi di ruang digital. Dengan satu klik, satu perkongsian dan satu komen, kita boleh menyuburkan sentimen “kita lawan mereka”. Maklumat tidak lagi disaring berdasarkan kebenaran, tetapi berdasarkan kesetiaan kepada pihak. Fitnah disebarkan atas nama solidariti. Kebencian dinormalisasikan atas nama mempertahankan maruah kelompok.
Lebih membimbangkan, asobiyyah seperti ini sering menyamar sebagai perjuangan. Ia dibungkus dengan slogan yang indah, dimainkan dengan emosi, dan akhirnya memaksa orang memilih pihak, bukan memilih kebenaran dan keadilan.
Di sinilah masyarakat mula retak. Apabila kita tidak lagi berani menegur orang sendiri kerana takut dilabel pengkhianat, dan dalam masa yang sama terlalu cepat menghukum pihak lain tanpa berlaku adil, itu tanda asobiyyah sudah berakar.
Kita tidak lagi bertanya, “apa yang benar?”, tetapi “siapa yang cakap?”
Sedangkan dalam Islam, ukuran itu tidak pernah berubah. Kebenaran tidak diukur pada siapa yang membawa, tetapi pada apa yang dibawa.
Akhirnya, peringatan Nabi SAW itu perlu kita baca semula dengan hati yang jujur. Seruan jahiliyyah bukan sekadar sejarah yang telah berlalu, tetapi penyakit yang sentiasa berpotensi hidup dalam masyarakat, termasuk masyarakat kita pada hari ini.
Maka soalan yang patut kita tanyakan bukanlah, “aku berada di pihak mana?”
Tetapi, “adakah aku benar-benar berada di pihak kebenaran?”
Kerana jika kita masih mempertahankan geng lebih daripada mempertahankan yang benar, maka mungkin tanpa sedar, kita sedang menghidupkan semula jahiliyyah di dalam diri kita sendiri.
DR





