Macam mana dengan pelajar arus perdana yang ambil STPM dengan CGPA tinggi, perlu kredit banyak subjek SPM dan bersaing sengit untuk masuk IPTA? Adilkah jika dibandingkan dengan pelajar UEC yang hanya perlu lulus BM dan Sejarah untuk mengikuti kursus tertentu di IPTA?
Saya faham kenapa persoalan ini timbul, khususnya dalam kalangan pelajar dan ibu bapa lepasan STPM. Kita semua tahu STPM ialah laluan arus perdana dan laluan utama ke IPTA yang dibina dalam sistem pendidikan negara sejak sekian lama. Sebab itu saya setuju, sensitiviti dan kebimbangan pelajar STPM dalam isu ini memang wajar untuk difahami dan dihormati, dan saya sendiri tidak setuju jika usaha dan pengorbanan pelajar STPM dipandang ringan.
Tetapi dalam masa yang sama, saya juga rasa kita perlu melihat keputusan ini dalam konteks yang lebih tepat dan lebih tenang.
Pertama, laluan kepada UEC ini bukan dibuka untuk semua kursus IPTA. Ia sangat terhad dan khusus kepada beberapa program tertentu berkaitan Bahasa Cina dan pendidikan. Ia BUKAN menggantikan sistem arus perdana yang dilalui majoriti pelajar STPM.
Kedua, KPT sendiri menegaskan bahawa kemasukan ini tetap tertakluk kepada MERITOKRASI, SYARAT AKADEMIK, perlu DITEMUDUGA, dan KEPUTUSAN SENAT Universiti. Maknanya, ia BUKAN LALUAN AUTOMATIK atau “free pass” seperti yang dibayangkan sesetengah pihak.
Ketiga, Dan jangan lupa, walaupun syarat minimum yang disebut ialah lulus Bahasa Melayu dan Sejarah SPM, untuk MENDAFTAR SPM seseorang calon tetap wajib mengambil SEKURANG-KURANGNYA ENAM MATA PELAJARAN TERAS. Jadi gambaran kononnya mereka hanya mengambil dua subjek sahaja sebenarnya tidak tepat.
Keempat, Pada saya, syarat STPM dan UEC juga tidak boleh dibandingkan secara terlalu literal kerana kedua-duanya datang daripada laluan pendidikan yang berbeza dan memenuhi keperluan yang berbeza.
Namun satu perkara yang saya sangat yakin ialah kerajaan tidak akan sesekali mengabaikan STPM. Malah saya percaya selepas ini laluan STPM akan terus diperkasakan dan lebih diangkat kerana STPM ialah antara sistem prauniversiti paling kukuh, paling berintegriti dan paling dihormati yang negara kita miliki. Ini antara sebab kenapa laluan prauniversiti akan diletakkan di bawah pentadbiran KPT.
Secara jujurnya, ramai pensyarah universiti sendiri mengakui bahawa pelajar lepasan STPM selalunya mempunyai daya tahan akademik, disiplin pembelajaran dan nilai kemahasiswaan yang sangat baik. Mereka sudah terbiasa dengan budaya membaca, menulis, berfikir secara matang dan mengurus tekanan akademik sejak awal lagi. Sebab itu lepasan STPM sering menonjol apabila berada di universiti.
Dan saya rasa penting untuk kita faham bahawa isu pendidikan tidak boleh dilihat sebagai zero-sum game, seolah-olah apabila satu kelompok diberi sedikit ruang, maka kelompok lain pasti rugi atau diketepikan.
Anak-anak STPM tidak perlu merasa seolah-olah usaha mereka dipinggirkan. Sistem merit STPM tetap menjadi tulang belakang utama kemasukan ke IPTA dan nilai akademiknya tetap tinggi di mata universiti dalam dan luar negara.
Membuka laluan khas yang sangat terhad kepada kelompok tertentu tidak bermaksud kerajaan sedang merendahkan standard STPM. Pada akhirnya, negara tetap memerlukan pelajar STPM sebagai antara aset akademik terbaik untuk masa depan pendidikan tinggi negara.
DR




