Dasar Lama, Reformasi Baharu

Isu syarat 30% ekuiti Bumiputera dalam Institusi Pendidikan Swasta (IPS) menjadi perhatian umum pada September 2026. Ramai melihatnya seolah-olah KPM baru memperkenalkan syarat tersebut. Sebenarnya, sejarahnya jauh lebih panjang.

Angka 30% mempunyai akar dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula masyarakat dan peningkatan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan ekonomi.

Selepas DEB berakhir pada 1990, agenda tersebut diteruskan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN), 1991–2000, walaupun DPN tidak menetapkan sasaran 30% baharu yang bersifat universal untuk semua sektor.

Dalam sektor pendidikan, prinsip tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam dasar IPS. Pada 26 April 1995, KPM mengeluarkan Surat Pekeliling Pentadbiran BPSG 2/95 berkaitan penubuhan dan pendaftaran sekolah swasta.

Ketetapan mengenai pemilikan dan ekuiti Bumiputera kemudiannya diperincikan dalam kerangka dasar IPS, termasuk Buku Dasar Institusi Pendidikan Swasta 2006.

Maka, syarat 30% dalam garis panduan 2026 bukanlah dasar yang dicipta secara tiba-tiba. Ia merupakan ketetapan lama yang telah berada dalam kerangka dasar pendidikan swasta selama kira-kira dua dekad.

Persoalannya, mengapa ketetapan lama itu kembali menjadi perhatian? SPI KPM Bilangan 5 Tahun 2026 memperincikan semula penubuhan, pendaftaran dan pengoperasian tujuh kategori IPS, termasuk pusat tuisyen, pusat bahasa, pusat latihan dan pusat perkembangan.

Apabila ketetapan pemilikan diperincikan semula, pengusaha sedia ada mula mempersoalkan implikasinya terhadap struktur syarikat dan operasi mereka.

Kalau syarat ini sudah wujud sekian lama, bagaimana ia dilaksanakan sebelum ini? Bagaimana dengan pengusaha lama yang struktur ekuitinya tidak memenuhi 30%? Bagaimana pula dengan pembaharuan pendaftaran, perubahan pemegang saham atau pengambilalihan syarikat?

Soalan-soalan ini menyentuh kepastian dasar dan keyakinan pengusaha terhadap peraturan kerajaan. Sebab itu perkembangan 20 September 2026 penting.

KPM tidak mengatakan syarat tersebut telah dibatalkan. Sebaliknya, KPM menyatakan bahawa setelah mengambil kira pelbagai pandangan, kementerian akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula struktur pemilikan pusat tuisyen kepada Jemaah Menteri.

Ini membezakan antara pelaksanaan dasar dengan perubahan dasar. Jika sekadar mahu menguatkuasakan dasar lama, KPM mempunyai fungsi pengawalseliaan untuk melaksanakannya.

Tetapi jika kerajaan mahu mengubah prinsip pemilikan yang telah berada dalam dasar IPS selama kira-kira dua dekad, ia menjadi persoalan dasar kerajaan yang lebih luas. Sebab itu perkara ini wajar dibawa kepada Jemaah Menteri.

Saya melihat ini sebagai peluang melaksanakan reformasi.

Kita tidak seharusnya hanya bertanya siapa yang memiliki sesebuah pusat pendidikan. Kita patut lebih bimbang tentang pusat pendidikan yang tidak berdaftar, tidak mengikuti kurikulum kebangsaan, tidak memenuhi keperluan keselamatan, mempunyai pengurusan yang lemah, membayar guru pada kadar terlalu rendah atau sentiasa berada pada paras minimum tanpa laluan perkembangan kerjaya. Kita juga perlu memberikan perhatian serius kepada kelayakan dan kompetensi guru.

Inilah perkara yang secara langsung menyentuh keselamatan, kebajikan dan mutu pembelajaran anak-anak.

Sudah tiba masanya kita mendidik generasi baharu bahawa Malaysia memerlukan mutu, bukan sekadar pemilikan.

Pendidikan yang baik tidak mempunyai warna kaum. Selagi ia datang daripada warga Malaysia, beroperasi mengikut undang-undang dan membawa kepentingan Malaysia, sumbangannya sepatutnya dinilai berdasarkan mutu dan nilai kepada anak-anak kita.

Ini tidak bermaksud sejarah dasar Bumiputera perlu dilupakan. Sejarah dan objektif asalnya tetap penting. Tetapi reformasi bermaksud berani bertanya sama ada instrumen lama masih merupakan cara terbaik untuk mencapai matlamat negara pada hari ini.

Sebab itu semakan ini wajar dilihat sebagai sebahagian daripada reformasi. KPM telah membuka ruang untuk menilai semula dasar lama dan membawa perkara tersebut kepada Jemaah Menteri kerana ia melibatkan dasar kerajaan.

Kini peluangnya ialah membina kerangka yang lebih berpandangan ke hadapan, bukan bertanya siapa pemilik pusat pendidikan, tetapi siapa yang mampu memberikan pendidikan yang terbaik, paling selamat dan paling bermutu kepada anak-anak Malaysia.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top