Kita Sedang Membetulkan Arah

Selama puluhan tahun, kita selesa dengan cerita bahawa Malaysia sedang maju. Memang benar. Ekonomi berkembang, pendapatan meningkat dan kehidupan rakyat jauh lebih baik berbanding generasi terdahulu. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah, maju berbanding siapa?

Makalah terbaru Khazanah Research Institute (KRI), Reflections on Malaysia’s Development Journey, mengingatkan bahawa pada 1970-an Malaysia masih berada dalam kelompok pembangunan yang boleh dibandingkan dengan Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

Namun sejak sekitar 1980-an, trajektori Malaysia mula menyimpang. Negara-negara tersebut memecut lebih pantas, sedangkan Malaysia terus berkembang tetapi pada kadar yang lebih perlahan.

Maka kita perlu berani mengakui sesuatu yang tidak selesa. Malaysia bukan tidak membangun Isunya, Malaysia tidak berkembang sepantas potensi yang kita ada.

Kita mempunyai sumber alam, pelaburan dan bakat. Tetapi persoalannya ialah sejauh mana semua itu diurus dengan berkesan dan bertanggungjawab.

Dalam konteks ini, isu rasuah, salah guna kuasa, ketirisan dan kebocoran wang awam bukan isu sampingan. Ia ialah isu pembangunan. Setiap ringgit yang bocor ialah sumber yang tidak dapat digunakan untuk pendidikan, kesihatan, kemahiran, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

KRI menggunakan konsep path dependency, keputusan masa lalu membentuk norma, institusi dan jangkaan masyarakat sehingga akhirnya mengehadkan pilihan kita pada hari ini.

Contoh subsidi bahan api menunjukkan bagaimana dasar yang bermula puluhan tahun lalu akhirnya membentuk tingkah laku dan jangkaan rakyat, sehingga perubahan menjadi semakin sukar. Siapa pemimpin yang berani membuat keputusan tidak popular, walaupun baik dan penting untuk negara?

Sebab itu, kestabilan dan kemakmuran tidak boleh lagi difahami sekadar sebagai ekonomi yang tumbuh dan negara yang aman.

A. Kestabilan mesti hadir bersama tadbir urus yang baik;

B. pertumbuhan mesti diterjemahkan kepada produktiviti dan pendapatan; dan

C. kemakmuran mesti dirasai sebagai kesejahteraan keseluruhan.

Dalam konteks inilah tiga tahun kebelakangan ini perlu dinilai dengan adil. Tidak perlu kita nafikan kelemahan kerajaan MADANI.

Tetapi tidak wajar juga kita menafikan perubahan yang sedang berlaku. Defisit fiskal turun daripada 5.5% KDNK pada 2022 kepada 3.7% pada 2025, sementara ekonomi berkembang 5.1% pada 2024 dan 5.2% pada 2025. Pelaburan diluluskan pula meningkat kepada RM431.1 bilion pada 2025.

Lebih penting, terdapat usaha mendapatkan semula hasil negara. Kerajaan melaporkan agensi penguatkuasaan membantu mendapatkan semula RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun melalui pemulihan aset, kutipan hasil dan tindakan terhadap penyeludupan serta penipuan.

Angka ini tidak bermaksud masalah ketirisan telah selesai, tetapi ia menunjukkan bahawa penguatkuasaan dan perlindungan wang awam boleh menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan.

Namun kita jangan cepat berpuas hati. Bank Negara melaporkan produktiviti buruh meningkat 3.4% pada 2025, tetapi sejak 2019 produktiviti terkumpul meningkat 9%, sedangkan upah benar pekerja sektor swasta per pekerja masih menurun 1.7%. Ini menunjukkan pekerjaan rumah kita masih besar.

Justeru, saya melihat Anwar Ibrahim sebagai nakhoda yang sedang cuba mengubah arah kapal, bukan sebagai pemimpin yang telah menyelesaikan semua masalah.

Tiga tahun mungkin terlalu singkat untuk membaiki struktur yang terbina selama puluhan tahun atau beberapa dekad, tetapi cukup untuk menunjukkan bahawa kita sedang memilih arah yang berbeza.

Kita tidak perlu kembali kepada nostalgia masa lalu. Kita ambil yang baik, akui yang gagal dan baiki apa yang rosak.

Jangan berpatah balik. Teruskan reformasi. Lawan rasuah. Tutup ruang ketirisan. Jaga wang rakyat. Tingkatkan produktiviti. Perbaiki pendidikan dan kemahiran. Bina institusi yang lebih kuat.

Kerana akhirnya, reformasi bukan tentang menjadikan seorang pemimpin kelihatan hebat. Reformasi yang berjaya ialah reformasi yang menjadikan Malaysia lebih sukar untuk dirosakkan oleh sesiapa sahaja selepas ini.

Itulah makna sebenar menjaga negara.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top