SPM 2025 & Empat Mata Pelajaran Teras

Tanggal 31 Mac 2026, kita sudah mendengar pengumuman keputusan SPM 2025. Secara keseluruhannya, ada peningkatan. Namun, ada juga penurunan dalam pencapaian beberapa mata pelajaran teras.

Kalau dilihat pada empat mata pelajaran teras, gambaran besarnya masih positif dan tidak membawa isyarat krisis. Yang penting kita ingat dahulu, bagi Gred Purata Mata Pelajaran, GPMP, angka yang lebih rendah adalah lebih baik. Jadi apabila angka turun, itu sebenarnya petanda prestasi meningkat, dan sebaliknya apabila angka naik, itu petanda ada sedikit kemerosotan.

Dalam artikel ini, saya akan terangkan serba sedikit pencapaian bagi MP Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

BAHASA MELAYU

Bagi Bahasa Melayu, GPMP meningkat daripada 3.72 kepada 3.85. Maknanya, secara asas, kita boleh katakan PENCAPAIAN bagi MP ini SEDIKIT MENURUN.

Tetapi bila kita lihat lebih dalam, sebenarnya ada sisi yang positif. Betul, peratusan pelajar cemerlang menurun daripada 36.9% kepada 32.9% (−4.0). Walau bagaimanapun, kumpulan kepujian meningkat daripada 45.5% kepada 49.5% (+4.0). Lulus juga naik sedikit (15.0% → 15.4), dan gagal menurun (2.5% → 2.2).

Maknanya, walaupun pelajar cemerlang (A+, A, A-) berkurang sedikit, lebih ramai pelajar berada dalam kategori baik dan sederhana, dan yang gagal semakin kurang.

Saya simpulkan, ini bukan kemerosotan serius, tetapi perubahan dalam taburan pencapaian. Dalam bahasa mudah, lebih ramai pelajar “jadi okay”, walaupun yang “top” sedikit berkurang.

MATEMATIK

Matematik pula menunjukkan perkembangan yang lebih jelas positif. GPMP turun daripada 5.20 kepada 5.03, yang bermaksud PRESTASI MENINGKAT.

Peratusan cemerlang naik daripada 33.3% kepada 35.4% (+2.1), dan yang gagal turun daripada 22.4% kepada 21.7% (−0.7). Ini penting. Maknanya, bukan sahaja lebih ramai pelajar cemerlang, tetapi yang lemah juga semakin berkurang. Dalam mp seperti Matematik yang sering mencabar, ini satu petunjuk yang sangat baik. Ia menunjukkan peningkatan berlaku di atas dan juga di bawah lebih seimbang.

BAHASA INGGERIS

Bahasa Inggeris pula stabil dan menunjukkan PENINGKATAN KECIL tetapi konsisten. GPMP turun daripada 4.75 kepada 4.66.

Calon Cemerlang meningkat sedikit (30.2% → 30.9), kepujian juga naik (30.6% → 31.1), manakala gagal hampir tidak berubah (9.8% → 9.7). Ini menggambarkan satu keadaan yang matang, iaitu pencapaian meningkat secara perlahan tetapi menyeluruh. Tidak mendadak, tetapi stabil.

SEJARAH

Sejarah pula sedikit berbeza. GPMP naik daripada 4.61 kepada 4.69, jadi nampak seperti SEDIKIT MENURUN.

Calon Cemerlang turun daripada 25.2% kepada 23.8% (−1.4), tetapi kepujian meningkat (45.1% → 45.5), lulus juga meningkat (24.6% → 25.7), dan gagal menurun sedikit (5.1% → 5.0). Sekali lagi, coraknya hampir sama dengan Bahasa Melayu.

Ada sedikit pengurangan di bahagian cemerlang, tetapi lebih ramai pelajar berada pada tahap lulus dan sederhana, dan yang gagal semakin berkurang.

RUMUSAN

Kalau kita lihat secara keseluruhan, mesejnya agak jelas. Matematik dan Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan yang terus ke hadapan. Bahasa Melayu dan Sejarah pula menurun, tetapi tidaklah merosot secara serius. Kita boleh kata.. sedang mengalami pelarasan.. 😅 Maksud saya, kurang sedikit pelajar cemerlang, tetapi lebih ramai pelajar mencapai tahap yang baik dan lulus.

Kalau kita boleh bayangkan, graf menumpu ke bahagian tengah, bukan di kiri atau di kanan.

Ini sebenarnya satu perkembangan yang sihat. Sistem pendidikan bukan sepatutnya sekadar menghasilkan pelajar terbaik, tetapi perlu juga memastikan lebih ramai pelajar tidak tercicir. Mengurangkan murid Gagal untuk KESEMUA EMPAT MP TERAS ini, pada saya, kita perlu raikan.

Dalam konteks pendidikan negara, itu lebih penting. Jadi, walaupun ada angka yang nampak naik, bila dilihat secara menyeluruh, arah sistem masih ke hadapan, stabil, terkawal, dan semakin inklusif.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top