Masalah Kita Bukan Perbezaan, Tetapi Kejahilan

Menurut pemikir Islam Edward Said, dunia sebenarnya bukan sedang menghadapi clash of civilizations, tetapi “clash of ignorance”, ataupun pertembungan kejahilan. Maksud beliau, banyak konflik yang kelihatan besar sebenarnya lahir daripada manusia yang tidak kenal dan memahami antara satu sama lain. Dalam Al Quran, istilahnya, litaa’rafu. Orang cepat marah sebelum memahami, cepat menghukum sebelum menyelidik, dan cepat menyebarkan cerita tanpa memastikan kebenarannya.

Al-Quran sendiri sudah lama memberi amaran tentang perkara ini. Dalam Surah al-Hujurat ayat 6, Allah mengingatkan, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan KEJAHILAN, lalu kamu menyesali perbuatan kamu.”

Perhatikan perkataan yang digunakan dalam ayat ini ialah ‘bi jahalah’, bermakna ‘kerana kejahilan’. Maksudnya jelas. Banyak kerosakan sosial berlaku bukan kerana manusia berniat jahat sejak awal, tetapi kerana mereka bertindak tanpa ilmu dan tanpa semakan. Dengan kata kasarnya, sebab tak semak, lantas jadi dan buat perkara bodoh! Maaf. Itulah dia sebenarnya.

Sebab itu Islam meletakkan ilmu sebagai asas kehidupan. Al-Quran bertanya dalam Surah az-Zumar ayat 9, “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” Jawapannya, sudah tentulah tidak sama. Orang berilmu memiliki pertimbangan dan kebijaksanaan, manakala orang yang jahil atau bodoh mudah dipengaruhi emosi dan propaganda.

Sebenarnya negara ini sejak dahulu lagi sudah lama menghayati kepelbagaian. Sejak zaman kegemilangan Empayar Melayu Melaka, pelabuhan Melaka menjadi tempat pertemuan pelbagai bangsa dari Arab, India, China dan Nusantara. Kepelbagaian bukan sesuatu yang baru dalam sejarah kita. Malah, era kita paling kuat adalah semasa kita meraikan kepelbagaian.

Dan kita tidak pernah runtuh kerana perbezaan itu. Tetapi, sejarah menunjukkan bahawa kejatuhan Melaka berlaku apabila wujud pengkhianatan dari dalam, apabila ada pihak kita sendiri yang membuka pintu kepada musuh dari luar. Bukan kepelbagaian yang meruntuhkan kita, tetapi kegagalan menjaga amanah dalam masyarakat sendiri. Itulah dia Si Kitol dan Raja Mandeliar.

Raja Mandeliar adalah saudagar yang punya banyak aset, jutawan yang menjadi master mind membuat fitnah dan politik kebencian kepada Bendahara Melaka, manakala Si Kitol adalah aparat media yang menyebarkan fitnah ke serata istana. Akhirnya Raja termakan hasutan dan menghukum Bendahara terbaik empayar Melaka. Pernah dengar kisah klasik ini?

Pada hari ini, sekali lagi ruang awam semakin dipenuhi dengan politik kebencian. Sedikit isu diperbesarkan, sedikit salah faham dipanaskan, lalu masyarakat dipaksa melihat dunia dengan dua warna sahaja, “kita” dan “mereka”. Inilah bentuk moden pertembungan kejahilan.

Kita boleh melihat contoh jelas dalam polemik seperti isu kuil haram atau isu penghinaan agama. Jika benar berlaku pencerobohan tanah, maka ia memang perlu ditangani. Tetapi Islam tidak pernah mengajar umatnya mengambil tindakan sendiri dengan kemarahan dan kekerasan. Yang mempunyai kuasa menegakkan undang-undang ialah kerajaan, dan yang mempunyai hak ialah pemilik tanah yang terlibat.

Mari kita rujuk sirah pula. Sejarah Islam sendiri ada menunjukkan peristiwa seperti ini. Ketika Baginda Rasulullah SAW berada di Makkah, Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s pernah dipenuhi berhala. Namun umat Islam ketika itu TIDAK PERNAH diperintahkan menghancurkan berhala-berhala tersebut kerana mereka belum menjadi pemerintah, jelasnya tiada autoriti undang-undang.

Hanya selepas Rasulullah menjadi pemimpin di Makkah barulah berhala-berhala itu dimusnahkan. Ia adalah kuasa ulil amri, bukan tindakan orang perseorangan secara vigilante.

Al-Quran juga mengajar umat Islam supaya menjaga akhlak walaupun berhadapan dengan penghinaan. Allah berfirman dalam Surah al-An‘am ayat 108 supaya umat Islam tidak mencela sembahan agama lain kerana perbuatan itu boleh menyebabkan mereka mencela Allah sebagai balasan. Ini menunjukkan bahawa Islam sangat berhati-hati dalam menjaga keharmonian masyarakat.

Begitu juga dalam Surah Fussilat ayat 34, Allah mengingatkan, “Tolaklah kejahatan dengan cara yang lebih baik.” Prinsip ini menunjukkan bahawa Islam bukan agama amukan, tetapi agama hikmah dan kebijaksanaan. Apa kita tidak pernah membacanya? Iqra!

Maka, sebab itu lah ia lebih menyedihkan apabila suasana kebencian ini berlaku dalam bulan Ramadan. Ramadan sepatutnya menjadi madrasah yang mendidik manusia mencapai taqwa, melatih kita mengawal diri, emosi dan lidah. Kita pun tahu,

Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa apabila datang Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.

Namun jika syaitan dibelenggu tetapi kebencian masih berleluasa, fitnah masih tersebar dan manusia masih seronok mencaci sesama sendiri,

maka kita perlu bertanya dengan jujur, jika syaitan tidak bekerja, siapa sebenarnya yang sedang bekerja sekarang? Siapa nak jawab ini? Siapa yang nak mengaku membuat kerja-kerja syaitan?

Jawapannya mungkin tidak selesa. Kadang-kadang masalahnya bukan syaitan, tetapi nafsu manusia sendiri yang tidak terdidik.

Sebab itu umat Islam perlu kembali kepada prinsip hidup bersama secara aman, yang dalam tradisi keilmuan Islam dikenali sebagai fiqh al-ta‘ayush, fiqh hidup bersama secara damai. Dalam dunia pendidikan moden, pendekatan ini seiring dengan gagasan peace education, iaitu pendidikan keamanan yang melatih manusia mengurus perbezaan dengan matang.

Akhirnya kita perlu sedar satu perkara yang sangat asas. Negara seperti Malaysia tidak akan runtuh kerana perbezaan kaum dan agama. Tetapi sebuah negara boleh rosak apabila masyarakatnya kehilangan adab, kehilangan ilmu dan membiarkan pertembungan kejahilan yang akhirnya membawa kepada ekstremisme dan ghuluw.

Sebab itu Ramadan sepatutnya menjadi saat muhasabah bagi kita semua. Kita yang berada di akhir Ramadan ini, adakah kita masih gemar menyebarkan kebencian dan menghukum orang lain tanpa memahami?

Dan kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita benar-benar sedang mengejar taqwa, atau sekadar berlapar tanpa belajar apa-apa?

Sebab itu, pada saya, kita wajib lawan pembodohan.

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top