Si Kitol dan Raja Mendeliar

Sejarah kadang-kadang memberi pengajaran yang halus, tetapi tajam. Pernah terfikir tak, kenapa empayar sebesar Kesultanan Melaka boleh tumbang?

Kita selalu diajar bahawa Melaka jatuh kerana serangan kuasa luar. Itu memang betul. Tetapi itu hanya separuh cerita. Separuh lagi yang lebih penting ialah pengkhianatan dari dalam.

Dalam kisah klasik yang direkodkan dalam Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, muncul dua watak yang sering disebut sebagai simbol pengkhianatan politik, Raja Mendeliar dan Si Kitol.

Siapa sebenarnya mereka ini?

Raja Mendeliar ialah seorang saudagar asing (India Muslim) yang sangat kaya. Boleh kata jutawan pada zaman itu. Aset banyak, pengaruh luas, rangkaian kuat. Kalau guna bahasa hari ini, kita boleh bayangkan dia sebagai elit ekonomi yang mempunyai akses kepada kuasa. Masalahnya satu saja. Walaupun beliau mahakaya, kekayaan itu tidak datang bersama amanah.

Dalam catatan sejarah, Raja Mendeliar menjadi dalang yang merancang fitnah terhadap Bendahara Melaka. Kisahnya bermula dengan konflik kepentingan antara beberapa saudagar di Melaka. Salah seorang yang terlibat ialah Raja Mendeliar. Menurut cerita dalam Sejarah Melayu, beliau terlibat dalam urusan rasuah dan cuba menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan sokongan dalam istana.

Namun Bendahara Tun Mutahir dikenali sebagai seorang pentadbir yang tegas dan tidak melayan permainan rasuah. Beliau amat tegas dalam prinsip tatakelola. Keadaan inilah seterusnya menimbulkan dendam.

Bendahara ketika itu, bukan orang biasa-biasa. Dialah tulang belakang pentadbiran empayar. Banyak kejayaan Melaka sebagai kuasa besar perdagangan sebenarnya datang daripada kebijaksanaan dan kewibawaan Bendahara.

Sebab itu apabila tokoh seperti ini diserang dengan fitnah, kesannya sangat besar. Orang yang mempertahankan negara ini difitnah seolah-olah dia pula yang mengkhianati kerajaan dan merampas kuasa Sultan.

Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) mencatatkan bahawa Raja Mendeliar menjadi mastermind yang mencipta fitnah dan meniup politik kebencian terhadap Bendahara, disebabkan Bendahara melawan rasuah dengan bersungguh-sungguh. Tetapi fitnah tidak akan menjadi besar kalau ia tidak disebarkan.

Di sinilah muncul satu lagi watak penting, Si Kitol. Dalam kisah sejarah itu, Si Kitol berperanan sebagai pembawa cerita dan penyebar hasutan. Dialah yang membawa khabar angin, membesar-besarkan tuduhan, dan menyampaikan cerita dan persepsi sehingga akhirnya sampai ke telinga Sultan.

Kalau guna bahasa zaman hari ini, Si Kitol boleh diibaratkan sebagai aparat media penyebar naratif.

Orang yang menyebarkan propaganda.

Orang yang mengulang cerita.

Orang yang membesarkan isu.

Ulang… ulang… ulang…

Sampai akhirnya fitnah itu kelihatan seperti kebenaran.

Masyarakat jadi panas. Sentimen naik. Akhirnya Sultan sendiri termakan hasutan dan menjatuhkan hukuman kepada Bendahara terbaik empayar Melaka itu.

Lihat bagaimana dua watak ini bekerja. Seorang mencipta fitnah. Seorang lagi menyebarkannya. Gabungan ini mencipta suasana politik yang penuh curiga dan kebencian. Akhirnya Bendahara dihukum tanpa penyiasatan yang adil. Di sinilah Melaka mula dilemahkan.

Apabila tokoh yang berintegriti disingkirkan, struktur kepimpinan mula rapuh. Kepercayaan dalam istana runtuh. Pentadbiran menjadi lemah. Negara yang sebelum itu kuat mula retak dari dalam. Dalam keadaan inilah kuasa luar datang mengambil kesempatan.

Tidak lama setelah peristiwa itu, Portugis datang menyerang Melaka pada tahun 1511. Dipimpin oleh Afonso de Albuquerque. Jumlah kekuatan mereka sebenarnya tidak besar. Hanya sekitar 20 buah kapal perang dan kira-kira 1000 tentera sahaja. Serangan yang menjatuhkan Melaka pula berlaku dalam tempoh kurang 40 hari.

Bayangkan. Empayar besar… jatuh dengan kekuatan tentera yang begitu kecil. Masuk akal?

Di sinilah pelajaran sejarah menjadi sangat menarik. Portugis mungkin membawa kapal dan meriam. Tetapi ruang untuk menjatuhkan Melaka sebenarnya sudah dibuka lebih awal, iaitu apabila Bendahara yang menjadi tonggak pentadbiran disingkirkan akibat fitnah.

Barangkali, Raja Mendeliar dan Si Kitol sendiri tidak sedar bahawa mereka sedang menjadi alat yang melemahkan negara. Bagi mereka, ini mungkin sekadar soal dendam peribadi. Soal kepentingan ekonomi. Soal kebencian terhadap Bendahara yang berprinsip dan menolak rasuah.

Tetapi akibatnya jauh lebih besar.

Bendahara yang taat dan setia, Tun Mutahir dihukum bunuh bersama keluarganya. Kemudian Sultan menyesal apabila mengetahui fitnah tersebut.

Apa yang kita boleh belajar daripada kisah ini? Sebuah negara jarang runtuh kerana kepelbagaian masyarakatnya. Melaka sejak awal adalah pelabuhan antarabangsa yang dipenuhi pelbagai bangsa dan budaya.

Tetapi sebuah negara boleh runtuh apabila muncul golongan yang sanggup mencipta fitnah, menyebarkan kebencian dan memanipulasi kuasa demi kepentingan sendiri.

Itulah pelajaran besar daripada kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar. Sejarah tidak berulang dengan watak yang sama. Tetapi pola dan sikap manusia bertuhankan nafsu sering muncul kembali dalam wajah yang berbeza.

Jadi soalan terakhirnya…

Dalam masyarakat hari ini…

Siapa sebenarnya Si Kitol?

Dan siapa pula Raja Mendeliar?

Apa peranan kita?

DR.

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top