BUKAN SOAL UMUR. TETAPI SOAL KAPASITI.
(1)
Dalam siri pertama, kita melihat satu angka yang sukar untuk diabaikan.
Pada 2015, 48.4% guru KPM berumur 40 tahun ke atas. Pada 2025, angka itu meningkat kepada 65.3%. Dalam tempoh 10 tahun, struktur umur guru berubah dengan ketara, daripada kurang separuh populasi kepada menguasai hampir dua pertiga populasi guru di sekolah.
(2)
Tetapi saya mahu berhati-hati di sini.
Umur bukan masalah. Guru berusia bukan masalah. Dan angka ini sama sekali bukan bukti bahawa guru yang lebih berusia kurang berprestasi.
Sebaliknya, angka ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih penting, persoalannya, Adakah jumlah guru yang kita lihat sebagai headcount benar-benar menggambarkan kapasiti yang tersedia untuk sekolah?
(3)
Headcount ialah bilangan manusia. Kapasiti pula ialah keupayaan sebenar untuk melaksanakan kerja dengan baik, konsisten dan berkesan.
Dua perkara ini tidak semestinya sama.
Kita ada data kesihatan yang menarik untuk direnungkan. Satu kajian kohort melibatkan 14,046 guru sekolah di Semenanjung Malaysia, dengan susulan sehingga 2021, merekodkan 209 kes penyakit kardiovaskular. Kajian ini diterbitkan dalam Jurnal tahun 2025.
(4)
Kajian ini menunjukkan, kadar kejadian penyakit kardiovaskular (CVD) bagi setiap 100,000 guru meningkat mengikut kumpulan umur seperti berikut:
30–39 tahun: 478.7
40–49 tahun: 1,824.1
50–59 tahun: 3,583.5
Ini menunjukkan kadar bagi guru berumur 50–59 tahun adalah kira-kira 7.5 kali kadar guru berumur 30–39 tahun.
Dengan kata lain, kapasiti kesihatan guru-guru sepuluh tahun lalu, dengan hari ini, juga terganggu.
Maka, daripada isu kesihatan fizikal, ia akan merebak kepada isu kesihatan mental apabila expectation pentadbir, PPD, JPN, KPM dan ibu bapa semakin tidak terkejar oleh guru-guru ini.
(5)
Angka ini tidak mengatakan umur menyebabkan seseorang guru kurang berupaya.
Tetapi ia menunjukkan sesuatu yang penting dalam perancangan tenaga kerja. Dengan kata lain, profil kesihatan guru, baik fizikal dan mental, dan usia tenaga kerja perlu diambil kira apabila kita bercakap tentang kapasiti.
(6)
Ini bukan hanya tentang kesihatan. Kerja guru hari ini juga semakin kompleks ketimbang sepuluh tahun lalu.
Mengajar masih menjadi tugas utama. Tetapi di sekelilingnya ada pentaksiran, dokumentasi, pengurusan murid, komunikasi dengan ibu bapa, program sekolah, kerja digital, pelaporan dan pelbagai keperluan baharu, yang lebih personalise, ketimbang sepuluh tahun lalu.
Sebab itu, 100 orang guru tidak semestinya bersamaan 100 unit kapasiti yang sama.
(7)
Kapasiti dipengaruhi banyak perkara, termasuklah pengalaman, kesihatan, konteks sekolah, kompleksiti tugas, teknologi, sokongan dan bagaimana masa guru digunakan.
Di sinilah kita perlu melihat isu persaraan awal dengan lebih tenang.
Menurut dapatan KPM, lebih 97% guru yang memilih persaraan awal berumur 50 tahun ke atas dan telah berkhidmat lebih 30 tahun.
Saya tidak melihat angka ini sebagai angka kegagalan.
(8)
Sebaliknya, ia memberitahu kita bahawa sebahagian mereka yang memilih untuk keluar lebih awal ialah guru yang telah melalui tiga dekad atau lebih kehidupan dalam profesion.
Mereka bukan kurang pengalaman.
Mereka sebenarnya membawa modal profesional yang sangat besar, pengalaman bilik darjah, pengetahuan tentang sekolah, budaya organisasi, murid, ibu bapa dan perubahan sistem.
(9)
Tetapi pengalaman tidak bermaksud seseorang perlu berada di dalam sistem selama-lamanya.
Bila sudah sampai masanya, bersara bukan bermakna gagal. Kadang-kadang memang sudah tiba masanya.
Pada masa yang sama, guru muda juga perlu diberi ruang untuk membina pengalaman dan kapasiti. Guru senior pula perlu terus dihargai sebagai aset, bukan dilihat semata-mata melalui angka umur.
(10)
Kita boleh melihat Singapura dan negara OECD sebagai cermin, bukan untuk meniru bulat-bulat. Negara lain juga mempunyai tenaga guru yang semakin matang. Singapura, misalnya, mempunyai purata umur guru 42 tahun dalam TALIS 2024.
Tetapi lihat negara lain, purata umur guru di Estonia 49 tahun, Latvia 50 tahun, manakala Lithuania dan Portugal masing-masing 51 tahun. Di Estonia, 52% guru sudah berumur 50 tahun ke atas; Latvia 58%, Lithuania 61% dan Portugal 60%.
(11)
Menurut OECD, secara keseluruhan purata umur guru sekitar 45 tahun, dan lebih separuh guru berumur 50 tahun ke atas di beberapa sistem pendidikan. Malah, antara 2018 hingga 2024, bahagian guru berumur 50 tahun ke atas meningkat di 14 sistem pendidikan yang mengambil bahagian dalam TALIS.
Bezanya ialah bagaimana kita mengurus perubahan itu, bagaimana pengalaman guru senior terus dimanfaatkan, bagaimana guru muda dibina, dan bagaimana kapasiti guru dirancang apabila semakin ramai menghampiri fasa akhir kerjaya.
Dan saya kira di sinilah perbincangan kita perlu bergerak.
(12)
Kita tidak perlu menyalahkan sesiapa. Pengalaman di luar negara boleh kita gunakan untuk persediaan sepuluh tahun ke hadapan.
Pada waktu ini, KPM juga bukan tidak melakukan apa-apa. Pelbagai usaha mengurangkan beban guru, memperkemas tugas dan menggunakan teknologi telah dilaksanakan.
Tetapi, kita kena insafi, dunia berubah jauh lebih pantas daripada sebelumnya, justeru kita tidak boleh bersikap business as usual.
(13)
Selepas COVID-19, pendigitalan pendidikan bergerak jauh lebih agresif. Guru terpaksa, dipaksakan menyesuaikan diri dengan platform dalam talian, bahan digital, aplikasi komunikasi dan kini pula AI.
Berapa ramai guru yang telah menguasai dan menggunakan AI dalam kehidupan harian keguruan mereka?
(14)
Dalam masa yang sama, suara guru juga kelihatan semakin kuat. Ini kita boleh lihat dalam page guru-guru berkumpul. ![]()
Guru lebih aktif di media sosial. Lebih ramai guru menghasilkan kandungan. Lebih ramai bersuara tentang pendidikan. Ada yang kritikal, ada yang bernas, dan ada juga yang kadang-kadang terbawa-bawa.
(15)
Nah, maka kita boleh bahaskan, persoalannya bukan lagi sekadar Mengapa guru semakin berusia?
Mungkin soalan yang lebih menarik ialah, Apakah yang sebenarnya berubah pada guru dan dunia kerja guru apabila generasi, teknologi, media sosial dan cara bekerja semuanya berubah pada masa yang sama?
Dan kalau dunia sudah berubah, adakah cara kita membina kapasiti guru juga perlu berubah?
DR
Siri 3, kita akan diagnosis perubahan kerja guru





