Lima perkara penting dalam Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia 2026–2035

Pendidikan negara kini sedang melalui satu fasa penting, daripada pemulihan pasca-COVID-19 kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh. Pandemik bukan sahaja mengganggu persekolahan, malah meninggalkan jurang pembelajaran yang perlu dipulihkan.

Suka atau tidak, ya, walaupun lima tahun berlalu, kesannya masih dan akan terus dirasai sehinggalah kohort terkesan berakhir enam – tujuh tahun mendatang. Pada waktu ini, kohort terakhir terkesan bencana COVID-19 masih berada di tahun lima sekolah rendah. Dalam konteks inilah Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia 2026–2035 menjadi signifikan.

Lebih penting, ini merupakan rancangan khusus pertama seumpamanya, yang memberikan tumpuan menyeluruh kepada transformasi pendidikan Matematik negara. Ia bukan sekadar mahu meningkatkan keputusan peperiksaan, tetapi mahu membina semula ekosistem Matematik secara khusus daripada asas.

(1)

Pertama, memulihkan asas Matematik dan merapatkan jurang.

Transformasi tidak boleh bermula tanpa memastikan asas murid kukuh. SEA-PLM 2024 menunjukkan 74% murid Tahun 5 mencapai Band 5 dan ke atas, tetapi 26% masih belum mencapai tahap minimum akhir sekolah rendah.

Maka, agenda pemulihan bukan sekadar menaikkan markah. Ia adalah usaha memastikan murid yang tercicir dapat kembali menguasai asas, sementara jurang antara murid berprestasi rendah, sederhana dan tinggi terus dirapatkan.

(2)

Kedua, mengubah Matematik daripada budaya hafalan kepada budaya pemikiran.

Rancangan ini mahu kurikulum Matematik menjadi lebih luwes dan relevan dengan masa hadapan, dengan penekanan kepada literasi Matematik, pemikiran analitikal, penyelesaian masalah dunia sebenar, teknologi dan pemikiran komputasional.

Murid tidak lagi memadai sekadar mengetahui formula. Mereka perlu memahami konsep, menaakul, menyelesaikan masalah dan menggunakan Matematik dalam kehidupan sebenar.

(3)

Ketiga, mentransformasikan guru Matematik.

Transformasi kurikulum tidak akan bermakna tanpa transformasi guru. Rancangan ini berhasrat untuk memperkenalkan Standard Kompetensi Guru Matematik (SKGM) yang merangkumi pengetahuan kandungan, pedagogi, STEM, aplikasi serta literasi data, digital dan teknologi.

Pada masa yang sama, penempatan guru opsyen Matematik mahu diselaraskan berdasarkan keperluan sekolah. Ini menunjukkan bahawa persoalannya bukan hanya berapa ramai guru yang kita ada, tetapi di mana kepakaran itu diperlukan dan bagaimana kepakaran tersebut terus dibangunkan.

Pada waktu ini (sehingga April 2025), di sekolah rendah, hanya 62.10% guru Matematik ialah guru opsyen, manakala 37.90% ialah bukan opsyen. Manakala, di sekolah menengah, 76.74% guru Matematik ialah guru opsyen, manakala 23.26% ialah bukan opsyen.

(4)

Keempat, memperkukuh teknologi, sumber dan ekosistem pembelajaran.

Rancangan ini mencadangkan hab maya Matematik bersepadu dalam DELIMa, bahan PdP interaktif, papan pemuka analitik serta sistem maklumat bersepadu pendidikan Matematik.

Teknologi dengan demikian bukan sekadar alat tambahan dalam bilik darjah. Ia perlu menjadi sebahagian daripada infrastruktur pembelajaran, sumber, data dan sokongan guru. Pada masa yang sama, keperluan sekolah yang berbeza perlu diambil kira supaya transformasi digital tidak memperluas jurang sedia ada.

(5)

Kelima, memperkenalkan Pentaksiran Profisiensi Literasi (PPL) Matematik.

PPL merupakan antara inisiatif paling strategik kerana ia membolehkan kita melihat tahap penguasaan Matematik murid dengan lebih menyeluruh. PPL menilai bukan sahaja kandungan Matematik, tetapi juga keupayaan murid berfikir, menaakul, menyelesaikan masalah dan mengaplikasikan Matematik dalam pelbagai konteks.

PPL juga bukan sesuatu yang terpisah daripada reformasi terdahulu. Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL) di bawah PPPM 2013–2025 akan dijenamakan semula sebagai PPL, dengan penekanan yang lebih jelas kepada tahap profisiensi murid.

Pelaksanaannya bermula secara berperingkat pada 2027 dan akan diperluas kepada semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6 serta Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4. Dengan kata lain, kali ini, kita betul-betul serius dalam mengukur dan memantau perkembangan profesiensi dan literasi Matematik anak-anak kita.

Yang penting, data PPL bukan untuk sekadar menghasilkan angka. Data itu mesti digunakan untuk mengenal pasti jurang, merancang pemulihan dan menentukan intervensi yang lebih bersasar.

Sebagai rumusan, lima perkara ini antara yang penting dalam membentuk satu naratif bahawa kita sedang memulihkan pendidikan selepas COVID-19, tetapi kita tidak mahu sekadar kembali kepada pendidikan sebelum COVID-19. Sudah tentu ada lagi inisiatif, strategi lain yang tidak saya kupas dalam hantaran ini.

Yang jelas, kita sedar dan mahu menggunakan momentum pemulihan untuk melakukan reformasi. Dan untuk itu, kita mahu memulihkan asas, mengubah cara murid belajar, mentransformasikan guru, memperkukuh ekosistem pembelajaran dan menggunakan PPL untuk mengetahui dengan tepat tahap penguasaan murid.

Daripada pemulihan kepada transformasi. Daripada mengukur pencapaian kepada memahami profisiensi. Daripada sekadar mengajar Matematik kepada membina generasi yang mampu berfikir dengan Matematik.

Itulah semangat yang saya lihat dalam Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia 2026–2035, suatu yang saya kirakan, wajar diberikan kredit kepada pasukan kepimpinan KPM kali ini.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top