(1)
Saya suka orang yang bercakap tentang pendidikan dengan cita-cita besar.
Nak guru kurang terbeban. Nak semua sekolah ada pembantu guru. Nak semua asrama ada warden sepenuh masa. Nak ada pegawai khas urus aset dan penyelenggaraan. Nak sekolah ada kenderaan sendiri supaya guru tidak perlu gunakan kenderaan peribadi.
Bagus. Kalau ditanya apa yang ideal, saya pun mahu.
Tetapi… berpijaklah di bumi nyata.
(2)
Kita sedang mengurus sistem pendidikan sebuah negara. Bukan sebuah sekolah. Bukan 50 sekolah. Bukan 100 sekolah.
MRSM kini sekitar 58 buah maktab. SBP pula sekitar 71 buah. Tetapi KPM mengurus lebih 10,000 sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, dengan jutaan murid.
Jadi apabila kita berkata, “MRSM boleh buat, kenapa KPM tidak boleh?”, saya faham soalan itu.
Tetapi cuba berhenti sekejap dan tanyakan soalan operasional seperti ini – Berapa kosnya kalau perkara yang sama hendak dibuat untuk lebih 10,000 sekolah?
Bukan bas sahaja.
Pemandu. Penyelenggaraan. Insurans. Pengurusan aset. Penggantian kenderaan. Sistem rekod. Dan akhirnya, kos per murid.
(3)
Sebab itu perbandingan mesti adil. Jangan hanya bandingkan apa yang nampak. Bandingkan keseluruhan ekosistem.
MRSM ialah sistem berasrama yang lebih kecil dan mempunyai struktur operasi tersendiri,tak sampai 60 buah. Kita boleh belajar daripada modelnya. Tetapi mengambil satu kemudahan daripada MRSM lalu mengatakan seluruh sistem KPM sepatutnya melakukan perkara yang sama, tanpa melihat skala dan kos, bukan perbandingan yang lengkap.
(4)
Jadi, adakah KPM tidak mahu?
Bukan.
Banyak perkara yang kita mahu lakukan. Tetapi kita tidak boleh buat semuanya serentak.
Dalam isu asrama misalnya, ramai tak tahu bahawa KPM sudah menyediakan 600 Pembantu Warden Asrama yang bukan dalam kalangan guru. Bukan 2-3 orang, bukan 60 orang. 600 orang. Adakah 600 itu cukup? Belum.
Tetapi adakah 600 lebih baik daripada sifar? Sudah tentu.
Begitu juga Pembantu Guru. Kita mulakan dengan 1,470 orang pada 2025. Perkara ini telah dipohon sejak bertahun-tahun oleh kesatuan guru. Akhirnya, berjaya dilaksanakan pada 2025 oleh kerajaan MADANI.
(5)
Mungkin belum mencukupi. Tetapi kita mula.
Begitu juga pembinaan sekolah, penambahan bilik darjah, penyelenggaraan dan pelbagai intervensi lain.
Buat yang mampu dahulu. Utamakan yang paling memerlukan. Kemudian perluaskan apabila sumber mengizinkan.
Itulah cara mengurus sistem yang besar.
Wang negara bukan wang KPM sahaja. Kita kadang-kadang bercakap seolah-olah wang kerajaan itu wang KPM seorang.
Tidak.
(6)
Kementerian Kesihatan perlukan hospital. Pertahanan perlukan aset. Kerja Raya perlukan jalan dan jambatan. Pengangkutan perlukan infrastruktur. Kebajikan perlukan peruntukan.
Semua menggunakan wang negara yang sama.
Jadi apabila kita mahu sesuatu, soalan yang matang, “Kalau kita belanja untuk perkara ini, apa yang perlu kita tangguhkan?”
Sebab itu isu tatakelola dan rasuah juga berkait dengan pendidikan. Setiap ringgit yang bocor ialah wang yang tidak sampai kepada keperluan rakyat.
(7)
Saya bersetuju guru perlu dilindungi daripada beban yang tidak munasabah.
Kalau pengangkutan murid menjadi aktiviti rasmi sekolah, kita perlu memikirkan sistem yang lebih baik. Tidak semestinya setiap sekolah mempunyai bas sendiri. Mungkin boleh diwujudkan model perkongsian di peringkat PPD, khususnya untuk sekolah yang benar-benar memerlukan.
Yang penting, jangan semua masalah sistem akhirnya diselesaikan dengan menggunakan masa, tenaga atau harta guru.
(8)
Namun kita juga perlu jujur. Setiap profesion ada tanggungjawab dan risiko.
Doktor ada risiko. Peguam ada risiko. Akauntan ada risiko. Jurutera ada risiko. Guru juga ada risiko.
Persoalannya bukan bagaimana hendak menghapuskan semua risiko.
Persoalannya ialah bagaimana kita mengurus risiko itu secara munasabah dan profesional.
Akhirnya, kita perlu belajar menerima bahawa negara tidak bergerak dalam dunia sempurna.
(9)
Ada bajet. Ada kekangan. Ada keutamaan. Ada kementerian lain. Ada keperluan rakyat yang pelbagai.
Tidak semua perkara yang belum terlaksana bermaksud kerajaan tidak peduli. Tidak semua kekurangan bermaksud kementerian tidak tahu.
Kita boleh kritik. Kita boleh cadang. Kita boleh tekan kerajaan.
Tetapi kita juga perlu memahami realiti.
Cita-cita boleh setinggi langit. Tetapi kaki tetap perlu berada di tanah.
Itulah maksud berpijak di bumi nyata.
(10)
Kita terus bergerak. Satu demi satu. Sedikit demi sedikit. Dengan amanah, kesungguhan dan profesionalisme.
Kerana perubahan yang baik bukan semestinya perubahan yang paling besar bunyinya.
Kadang-kadang perubahan yang paling bermakna ialah perubahan yang mampu kita laksanakan, kita kekalkan dan akhirnya kita perluaskan.
Cita-cita mesti tinggi. Tetapi kaki mesti tetap berpijak di bumi nyata.
DR
Doakan yang terbaik untuk semua





