Ramadan sering kita rayakan sebagai bulan ibadah. Tetapi jika kita berani jujur, Ramadan sebenarnya adalah bulan ujian yang paling real, bukan sekadar ujian lapar dan dahaga, tetapi ujian nilai, prinsip, dan arah hidup. Ia adalah madrasah tarbiah yang tidak menilai apa yang kita nampak di luar, tetapi siapa kita di dalam. Bila kita graduate dari Ramadan, adakah dengan lulus cemerlang ujian Ramadan?
Tujuan Ramadan telah lama kita dengar. Dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa puasa itu untuk melahirkan taqwa, la’allakum Tattaqun. Namun persoalan kritikalnya, kenapa masih ramai yang keluar dari Ramadan tanpa perubahan yang signifikan? Saya fikir, jawapannya mudah tetapi keras, kerana kita melalui Ramadan hanya sebagai ‘suasana’ , bukan sebagai latihan. Kita lalui Ramadan sama seperti kita lalui media sosial. FOMO, fear of missing Out. Orang puasa, kita pun puasa. Orang maki hamun, kita pun maki hamun. Orang buat itu, kita pun ikut.
Di sinilah hadis yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad SAW menjadi tamparan besar kepada cara kita memahami puasa, “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak berhajat kepada puasanya yang hanya menahan lapar dan dahaga.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1903)
Hadis ini memecahkan ilusi besar dalam masyarakat kita. Puasa bukan sekadar ritual fizikal, tetapi transformasi akhlak. Dalam konteks Malaysia yang majmuk, hadis ini menjadi lebih relevan dan mencabar. Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, agama, dan latar sosial. Maka ujian kita bukan sekadar menahan diri, tetapi menjaga lisan, adab, dan reaksi dalam ruang awam yang kompleks.
Apa maknanya kita berpuasa jika masih menyebar kebencian, mempermainkan isu kaum dan agama, atau menjadi sebahagian daripada gelombang fitnah digital? Lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri, ketika emosi memuncak dan ruang sosial menjadi lebih terbuka, kita melihat pelbagai “drama” muncul, salah faham, tuduhan, bahkan perbalahan yang tidak perlu.
Dalam keadaan ini, kita hanya mampu berdoa agar Allah menzahirkan kebenaran dan membela mana-mana pihak yang dizalimi. Kerana hakikat zalim dan adil itu bukan ditentukan oleh sentimen manusia, tetapi oleh piawaian Allah, bukan tafsiran kita yang sering dipengaruhi emosi dan kepentingan.
Lebih besar daripada itu, umat Islam di Malaysia juga diuji dengan ujian nikmat kemakmuran. Kita mungkin tidak diuji dengan peperangan secara langsung seperti di beberapa negara lain, tetapi kita diuji dengan kesenangan, subsidi, kestabilan, kemudahan hidup. Ini ujian yang lebih halus, tetapi lebih berbahaya. Kerana kesenangan sering melahirkan kealpaan.
Allah mengingatkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kamu… Tetapi jika kamu kufur, maka Azab-Ku amat lah berat” (Surah Ibrahim: 7)
Persoalannya, adakah kemakmuran ini menjadikan kita lebih bersyukur atau lebih menuntut? Adakah Ramadan menjadikan kita lebih empati terhadap penderitaan umat lain, termasuk konflik yang melibatkan dunia Islam hari ini, atau sekadar menjadikan kita lebih fokus kepada apa yang tular dalam medsos? Tak peduli dengan pesanan dan saranan pemerintah untuk berjimat cermat?
Di sinilah kita perlu melihat Ramadan sebagai ujian berjemaah dan individu. Secara berjemaah, umat diuji sama ada kita membina budaya yang benar atau sekadar mengikut arus majoriti. Kebenaran tidak pernah diukur dengan bilangan. Dalam masyarakat yang bising dengan pelbagai pandangan, hanya Al-Quran dan Sunnah menjadi neraca yang stabil.
Secara individu pula, ujian Ramadan sangat peribadi. Ia berlaku dalam pilihan-pilihan kecil, bangun atau tidak untuk sahur, membaca atau tidak Al-Quran, menahan diri atau melampiaskan emosi. Tidak ada siapa yang nampak, tetapi di situlah Allah menilai. “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan membalasnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1904; Muslim, no. 1151)
Semua ibadah lain, solat, sedekah, haji, ada gambaran ganjarannya. Ada pengiraan, ada gandaan pahala. Tetapi puasa berbeza. Allah tidak nyatakan secara spesifik berapa ganjarannya. Kenapa? Kerana puasa itu ibadah yang paling tersembunyi, paling sukar dipalsukan.
Akhirnya, Ramadan bukan sekadar tentang siapa yang paling banyak beribadah, tetapi siapa yang paling berubah. Madrasah ini tidak menilai kehadiran, tetapi hasil. Dan mungkin soalan paling tidak selesa yang perlu kita bawa menjelang akhir Ramadan ini ialah,
Adakah kita benar-benar sedang dibentuk oleh Ramadan… atau sekadar bertahan sehingga ia berakhir?
DR





