Berapa Ramai Sebenarnya Anak-anak Malaysia Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan?

Berapa ramai sebenarnya anak-anak Malaysia yang sedang membesar di luar laluan pendidikan arus perdana negara?

(1) Pernah tanya soalan ini? Saya fikir, soalan ini jarang dibincangkan dengan jujur. Kita terlalu sibuk berbahas secara politik sehingga terlupa melihat wajah-wajah sebenar di sebalik statistik dan polemik yang ada dalam pendidikan negara ini.

(2) Tahukah kita, pada hari ini, dalam ekosistem institusi pendidikan Islam alternatif sahaja, meliputi tahfiz, pondok, sekolah agama rakyat, maahad dan madrasah swasta, dianggarkan terdapat sekitar 150,000 hingga 250,000 pelajar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, dianggarkan sekitar 50,000 hingga 79,000 lepasan berada dalam laluan pendidikan yang tidak bergantung kepada SPM atau tidak melalui sistem peperiksaan nasional konvensional.

(3) Namun, sudah tentu, ada juga sebahagian mereka yang tetap mengambil SPM sebagai calon persendirian atau calon tumpang.

Data rasmi Lembaga Peperiksaan menunjukkan sekitar 48,000 hingga 51,000 calon SPM setiap tahun datang daripada luar sekolah KPM. Mereka ini merangkumi pelbagai aliran, termasuk tahfiz, pondok, sekolah agama swasta, SMPC, sekolah antarabangsa, calon persendirian dan institusi bukan arus perdana lain.

(4) Ini bermaksud, memang wujud anak-anak daripada sistem pendidikan alternatif yang berusaha mendapatkan “jambatan nasional” melalui SPM.

Tetapi angka itu juga membawa satu hakikat yang jauh lebih besar.

Jika keseluruhan ekosistem pendidikan alternatif dianggarkan melibatkan sekitar 70,000 hingga 100,000 anak muda setiap tahun, tetapi hanya sekitar 50,000 sahaja yang mengambil SPM, maka kita perlu jujur mengakui bahawa puluhan ribu lagi anak Malaysia sedang membesar tanpa ‘jambatan nasional’ yang jelas untuk mobiliti pendidikan dan sosial mereka.

Inilah skala sebenar perbahasan kita.

PULUHAN RIBU orang.

Bukan beberapa ratus orang.

Bukan isu terpencil.

Tetapi PULUHAN RIBU ANAK MALAYSIA SETIAP TAHUN .

(5) Mereka ini siapa?

Mereka ialah anak-anak kita.

Ada yang menghafaz al-Quran sejak kecil. Ada yang menghabiskan usia remaja di pondok-pondok ilmu. Ada yang belajar kitab, bahasa Arab, hadis dan turath dengan penuh disiplin. Ada yang membesar dalam sistem UEC. Ada juga yang berada dalam sekolah antarabangsa dengan kurikulum luar negara.

(6) Sebahagian kecil, yang ada biasiswa, atau ada keupayaan perbelanjaan, berjaya menyambung pengajian ke Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan untuk pengajian Islam. Ada pula ke Taiwan, China untuk lepasan UEC. Sebahagian lagi memasuki universiti atau institusi swasta tempatan.

Namun, ramai juga yang tak ke mana mana…

tersekat di persimpangan. Tidak semua mempunyai peluang, biaya atau laluan yang jelas untuk bergerak lebih jauh.

Ruang dan peluang mereka menyambung pengajian amat rendah. Dan semuanya ialah anak-anak Malaysia. Mereka lahir di tanah ini. Membesar di tanah ini. Akan bekerja, mengundi, membina keluarga dan menentukan masa depan negara ini.

(7) Sebab itu, isu ini tidak boleh lagi dilihat secara sempit, seolah-olah sekadar perbalahan tentang UEC, tahfiz atau ideologi pendidikan semata-mata.

Soalan sebenar yang sedang berada di depan kita ialah ini.

Apakah negara mempunyai jambatan masa depan untuk semua anak-anak ini?

Atau kita sedang membiarkan mereka membesar dalam ekosistem masing-masing, terpisah oleh bahasa, sistem pendidikan, kelas sosial dan jaringan kehidupan yang berbeza-beza?

(8) Negarawan tidak melihat isu pendidikan hanya untuk memenangi satu perbahasan politik. Negarawan melihat satu generasi ke hadapan.

Kerana akhirnya, negara tidak dibina hanya oleh mereka yang berada dalam satu aliran pendidikan sahaja. Negara dibina oleh seluruh anak-anaknya.

Anak sekolah kebangsaan.

Anak tahfiz.

Anak pondok.

Anak sekolah agama rakyat.

Anak SMPC.

Anak sekolah antarabangsa.

Semuanya anak Malaysia.

(9) Maka cabaran besar kita hari ini ialah bagaimana mahu memastikan setiap anak ini mempunyai peluang, laluan dan masa depan yang bermaruah, TANPA melanggar Perlembagaan Persekutuan, TANPA meruntuhkan dasar pendidikan negara, TANPA mengorbankan kedudukan Bahasa Melayu, dan TANPA memadam identiti nasional yang telah dipersetujui bersama.

(10) Sebab itu, saya melihat langkah KPT membuka laluan kemasukan IPTA kepada pelbagai sijil dengan syarat wajib SPM sebagai satu ikhtiar penting untuk membina ‘jambatan nasional’ kepada lebih ramai anak Malaysia, tanpa mengorbankan asas Perlembagaan, dasar pendidikan negara dan identiti kebangsaan yang telah dipersetujui bersama.

DR

Nota kaki:

Sudah-sudahlah melihat setiap isu pendidikan hanya melalui lensa politik dan sentimen sempit. Tidak siapa sedang “mengiktiraf sesiapa” secara membuta tuli atau menggadaikan dasar negara. Jangan terikut dengan naratif yang separuh benar sehingga kita gagal melihat persoalan sebenar di depan mata, iaitu puluhan ribu anak Malaysia sedang mencari jambatan masa depan mereka. Pendidikan sepatutnya menjadi ruang membina negara, bukan medan menyalakan ketakutan politik tanpa penghujung.

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top