Jangan Menang Politik, Kalah Perpaduan

(1)

Saya membaca artikel ini dengan satu perasaan yang sukar hendak saya sembunyikan, yang saya sangat bersetuju.

Perbezaan politik bukan masalah. Malah, perbezaan ialah nyawa demokrasi. Kita tidak perlu memilih parti yang sama, tidak perlu mempunyai pandangan yang sama dan tidak perlu bersetuju dengan semua dasar kerajaan atau pembangkang.

(2)

Tetapi ada satu perkara yang semakin merisaukan saya. Sejak bilakah perbezaan politik mula bertukar menjadi kebencian?

Bilakah orang yang berbeza pilihan politik mula dilihat sebagai musuh? Bilakah kita mula menganggap hanya kelompok kita yang paling patriotik, paling bermoral, paling melayu, paling membela agama dan benar?

(3)

Pada saya, di sinilah kita perlu bercakap dan meneliti semula tentang amalan politik identiti yang sempit, politik kebencian, politik ketakutan dan politik persepsi yang keterlaluan, yang ya.. Menghasilkan kemenangan dalam pilihanraya, tetapi harga yang dibayar juga amat mahal.

(4)

Pandangan saya begini. Politik identiti tidak semestinya salah. Dalam masyarakat seperti Malaysia, identiti bangsa, agama, budaya dan komuniti memang mempunyai tempat. Tetapi identiti menjadi sangat berbahaya apabila ia digunakan untuk membina tembok antara “kami” dan “mereka”.

“Kalau kamu Melayu, kamu mesti bersama kami.”

“Kalau kamu Islam, kamu mesti sokong kami.”

“Kalau kamu tidak bersama kami, kamu sudah berpihak kepada mereka.”

Apabila naratif seperti ini diulang terlalu lama, kita akhirnya mengajar rakyat bahawa perbezaan pilihan politik ialah bukti perbezaan kesetiaan.

(5)

Kemudian datang politik kebencian. Kita melabel, menghina, memfitnah dan mencari kesalahan pihak lain sambil menutup kesalahan kelompok sendiri.

Selepas itu datang politik ketakutan. “Kalau mereka menang, habislah agama.” “Kalau mereka berkuasa, bangsa kita akan hilang.” “Kalau kamu tidak bersama kami, masa depan anak-anak kamu musnah.”

Ayat & kata sebegini, yang kita tanam dan tuai akhirnya bukanlah perpaduan, walaupun mungkin dapat memenangi pilihanraya. Waima selepas pilihanraya, kita fikir masyarakat akan bertaut kembali?

(6)

Akhirnya rakyat tidak lagi membuat pertimbangan berdasarkan dasar dan fakta. Mereka membuat pilihan kerana takut. Dan apabila ketakutan menguasai politik, persepsi pula mengambil alih tempat fakta.

Satu video dipotong. Satu kenyataan dikeluarkan daripada konteks. Satu gambar dijadikan bukti. Satu kes digeneralisasikan kepada seluruh kelompok.

Kemudian ia dikongsi, diulang dan diperbesarkan sehingga orang percaya bukan kerana ia benar, tetapi kerana mereka terlalu banyak kali mendengarnya.

Inilah pertandingan politik yang keterlaluan. Ia bukan lagi sekadar pertandingan, tetapi suatu perlawanan yang mewujudkan permusuhan dan kebencian berpanjangan.

(7)

Saya sengaja menggunakan perkataan keterlaluan kerana masalahnya bukan sahaja berkaitan politik identiti, bukan perbezaan pandangan dan bukan kritikan. Masalahnya ialah apabila semuanya sudah melampaui sempadan, sempadan adab, fakta, demokrasi dan akhirnya sempadan perpaduan nasional.

(8)

Lebih membimbangkan apabila politik mula melanggar batas agama. Dalam aksi perpolitikan, kita boleh mengkritik pemimpin. Kita boleh menolak parti. Kita boleh mengatakan dasar seseorang salah.

Tetapi apabila perbezaan politik mula membawa kepada persoalan siapa Islam, siapa kafir, siapa sesat atau siapa munafik, kita sudah memasuki wilayah yang sangat berbahaya.

Di sinilah isu takfiri perlu disebut. Ini sudah amat berat.

(9)

Bukan setiap kritikan itu takfiri. Tetapi apabila perbezaan politik dijadikan asas untuk mempertikaikan keislaman orang lain, kita sedang menghampiri satu sempadan yang tidak sepatutnya dilalui.

Dan yang paling menyedihkan ialah pelakunya kadang-kadang langsung tidak terasa bahawa dia telah melampaui batas.

Dia merasakan dia sedang mempertahankan Islam.

Dia merasakan dia sedang mempertahankan bangsa.

Dia merasakan dia sedang mempertahankan kebenaran.

(10)

Sedangkan dalam proses itu, mungkin dia sedang menanam kebencian, memecahkan persaudaraan dan menjadikan agama sebagai senjata politik.

Yang paling menakutkan, Bukany orang yang tahu dirinya sedang melampaui batas, Tetapi orang yang paling menakutkan ialah orang yang sudah melampaui batas dan masih menyangka dirinya sedang melakukan kebaikan.

Sebab itu saya tidak boleh menerima parti dan pemimpin parti politik yang membiarkan pengikutnya melakukan keterlaluan dan keterlanjuran tanpa ditegur, seolah-olah semuanya boleh dimaafkan selagi memberikan political mileage.

(11)

Saya teringat kisah Saidina Ali bin Abi Talib ketika berhadapan dengan Muawiyah. Dalam riwayat yang dinukil dalam Nahj al-Balagha, Saidina Ali mengakui bahawa beliau memahami kelicikan politik dan sebenarnya mampu menggunakan tipu daya.

Tetapi beliau memilih untuk tidak melakukannya kerana pengkhianatan bukan jalan yang sanggup ditempuhnya demi kemenangan. Ya, itu pilihan Saidina Ali.

Inilah pengajaran yang besar.

Tidak semua perkara yang berkesan itu betul. Tidak semua strategi yang membawa kemenangan itu bermaruah. Dan tidak semua kemenangan politik wajar dikejar.

(12)

Maka kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri. Kalau kita menolak penghinaan apabila dilakukan oleh lawan kepada kita dan mungkin pemimpin kita, mengapa kita membenarkannya apabila perkara sama dilakukan oleh kelompok kita?

Kalau kita marah apabila orang lain memfitnah pemimpin kita, mengapa kita berkongsi fitnah terhadap pemimpin pihak lain?

Kalau kita percaya Islam mengajar akhlak, mengapa pilihan politik seseorang menjadi alasan untuk kita merendahkan maruahnya?

Dan kalau kita benar-benar percaya kepada demokrasi, mengapa kita begitu sukar menerima bahawa seorang Muslim boleh memilih parti yang berbeza daripada kita?

(13)

Jangan terlalu sibuk mempertahankan kelompok sehingga lupa mempertahankan prinsip.

Parti boleh berubah.

Pemimpin boleh berubah.

Kerajaan boleh berubah.

Tetapi luka yang kita tinggalkan dalam hubungan antara rakyat mungkin mengambil puluhan tahun untuk sembuh.

(14)

Kita boleh menang pilihan raya. Tetapi jangan sampai kita menang politik lalu kalah perpaduan.

Kita boleh menang hujah. Tetapi jangan sampai kita menang hujah lalu kalah akhlak.

Kita boleh mempertahankan agama. Tetapi jangan sampai dalam kononnya mempertahankan agama, kita melanggar batas agama itu sendiri.

Kerana akhirnya, parti bukan negara. Pemimpin bukan negara. Kerajaan bukan negara.

Negara ini ialah kita semua.

(15)

Sebab itu saya sangat setuju dengan headline ini. Jangan menang politik, kalah perpaduan.

Dan saya tambah satu lagi, Jangan menang hujah, kalah akhlak.

Apa lagi yang ada pada orang Islam jika akhlak pun tiada?

DR

Berusaha menjaga akhlak

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top