Semalam, 14 Mei 2026, (KPT) mengeluarkan kenyataan media berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke (IPTA), melibatkan pelajar daripada institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Namun, ramai salah faham seolah-olah kerajaan sudah membuka pengiktirafan umum secara automatik kepada semua lepasan aliran tersebut. Sedangkan kenyataan KPT sebenarnya sangat jelas dan sangat terhad.
Izinkan saya berikan penerangan dan pencerahan agar tak ada yang speechless atau jadi terpaling..
1. Boleh memohon, bukan automatik diterima
KPT hanya menyatakan pelajar daripada aliran tersebut BOLEH MEMOHON ke IPTA. Itu sahaja. Ia bukan laluan khas, bukan kemasukan automatik dan BUKAN JUGA PENGIKTIRAFAN UMUM TANPA SYARAT.
2. Maksudnya, TETAP TERTAKLUK kepada syarat universiti
Semua calon masih perlu memenuhi:
– syarat am kemasukan,
– syarat khas program, dan
– syarat tambahan yang ditetapkan universiti.
Maksudnya, universiti masih menentukan standard akademik masing-masing.
3. Pemilihan tetap berdasarkan MERITOKRASI melalui UPU online.
Semua permohonan masih perlu bersaing berdasarkan merit. Tidak wujud laluan pintu belakang atau pengecualian khas daripada persaingan akademik biasa.
4. Program yang dibuka sangat spesifik
KPT hanya mengenal pasti PROGRAM tertentu sahaja yang AMAT KHUSUS.
Bagi lepasan tahfiz:
– Dakwah,
– Al-Quran dan As-Sunnah,
– Pendidikan Tahfiz,
– Pengajian Islam.
Bagi lepasan UEC:
– Bahasa Cina,
– Linguistik Cina,
– Pengajian Cina,
– Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Maknanya, ia bukan akses terbuka kepada semua bidang seperti perubatan, kejuruteraan atau undang-undang.
Maksudnya, laluan ini bersifat KEPERLUAN KHUSUS bidang, bukan pengiktirafan umum semua aliran.
5. Keputusan akhir tetap di tangan Senat Universiti
Walaupun kerajaan menetapkan dasar umum, keputusan akhir kemasukan tetap tertakluk kepada Senat Universiti.
Dalam pentadbiran IPTA, senat universiti mempunyai AUTONOMI PENUH menentukan:
– kesetaraan kelayakan,
– kapasiti program, dan
-syarat akademik.
6. Jangan campur-adukkan empat isu berbeza
Polemik hari ini berlaku kerana ramai mencampur-adukkan empat isu yang berbeza:
A) wajib belajar Bahasa Melayu dan Sejarah,
B) syarat daftar SPM,
C) syarat lulus SPM,
D) syarat kemasukan IPTA.
Semua ini berada dalam domain dasar yang berbeza. Faham asas ini dahulu. Tahu tak untuk daftar SPM, sekurang-kurangnya perlu daftar enam mata pelajaran teras?
7. Semua warganegara WAJIB belajar Bahasa Melayu dan Sejarah
Kerajaan menetapkan semua anak Malaysia wajib mempelajari Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia mengikut standard kurikulum kebangsaan. Ini bukan sekadar isu peperiksaan, tetapi soal identiti nasional dan asas kenegaraan.
8. SPM masih kelayakan nasional utama
Hakikat yang ramai tidak sedar, bahawa majoriti besar pelajar SMPC sendiri mengambil SPM. Dianggarkan sekitar 85% hingga 95% pelajar SMPC menduduki SPM pada umur 17 tahun sebelum kebanyakan mereka menyambung UEC setahun kemudian.
Ini menunjukkan SMPC sendiri mengiktiraf SPM sebagai kelayakan nasional utama negara, manakala UEC digunakan sebagai nilai tambah dan laluan alternatif.
9. UEC berfungsi sebagai nilai tambah dan laluan alternatif
Dalam praktik sebenar, SPM digunakan untuk memenuhi SYARAT NASIONAL, UEC pula digunakan sebagai NILAI TAMBAH dan laluan alternatif ke IPTS atau universiti luar negara.
Sebab itu, majoriti besar lepasan SMPC sebenarnya memiliki kedua-dua sijil.
10. Polemik sebenar hanya melibatkan kelompok kecil
Isu biasanya melibatkan kelompok kecil pelajar yang hanya memiliki UEC TANPA SIJIL SPM penuh akibat GAGAL Bahasa Melayu atau Sejarah SPM.
Kelompok inilah yang menghadapi kesukaran untuk memasuki IPTA dan sektor awam.
11. UEC TIDAK DIIKTIRAF sebagai kelayakan nasional rasmi setara SPM atau STPM
Ini isu pokok yang mesti difahami. UEC hari ini TIDAK DIIKTIRAF SEBAGAI KELAYAKAN NASIONAL RASMI YANG SETARA dengan SPM dan STPM.
12. Isunya bukan sama ada UEC bagus atau tidak
Isu sebenar ialah sama ada UEC memenuhi kerangka nasional dari sudut kurikulum, kawal selia pentaksiran, audit akademik, dan dasar perundangan negara.
SPM dan STPM berada dalam sistem rasmi negara. Manakala, UEC berada di luar kerangka tersebut.
13. Sebab itu kerajaan tidak boleh mengiktiraf UEC sebagai kelayakan tunggal
Untuk diiktiraf sebagai kelayakan nasional rasmi setara SPM atau STPM, sesuatu sistem peperiksaan perlu berada dalam kerangka rasmi negara.
Selagi UEC kekal di luar sistem kurikulum, pentaksiran dan kawal selia kebangsaan, kerajaan tidak mempunyai asas dasar dan perundangan untuk mengiktirafnya sebagai kelayakan tunggal ke IPTA dan sektor awam.
14. Lepasan UEC sudah lama diterima dalam bidang tertentu
Ini juga fakta yang perlu jujur disebut. Lepasan UEC sudah lama diterima ke IPGM dan institusi pendidikan awam DALAM BIDANG KHUSUS seperti Bahasa Cina.
Tetapi SYARATNYA TETAP SAMA,
– MESTI memiliki SPM,
– MESTI lulus BAHASA MELAYU dan SEJARAH, dan
– UEC hanya berfungsi sebagai nilai tambah bagi memenuhi keperluan tertentu negara.
Kesimpulan
Perbahasan UEC perlu dibuat secara RASIONAL dan OBJEKTIF. Ini bukan sekadar isu politik atau kaum. Ini melibatkan asas kenegaraan, struktur pendidikan negara, kerangka undang-undang,
dan keseimbangan antara keterbukaan pendidikan dengan identiti nasional Malaysia.
Sebab itu, jangan asyik mahu mempolitikkan isu ini. SEMUA PARTI PERNAH MENJADI KERAJAAN dan isu UEC ini BUKAN ISU BAHARU. Ya, SEMUA PARTI TERMASUK PEMBANGKANG PADA HARI INI.
Bezanya, Kerajaan MADANI hari ini dilihat lebih berani mengambil pendekatan yang seimbang, inklusif dalam membuka ruang pendidikan, tetapi tetap tegas mempertahankan Perlembagaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras negara.
DR
15. Nota tambahan: Mengenai lepasan tahfiz di luar kerangka institusi arus perdana sistem pendidikan kebangsaan, adakah sebelum ini mereka tidak boleh masuk ke (IPTA)?
Jawapannya, bukan begitu. Sebelum ini memang sudah ada lepasan tahfiz yang berjaya memasuki IPTA, khususnya dalam bidang pengajian Islam, dakwah, tahfiz dan Al-Quran.
Namun, proses itu kebanyakannya berlaku secara TERHAD, TIDAK SERAGAM dan banyak BERGANTUNG KEPADA SYARAT UNIVERSITI, pengiktirafan SIJIL TERTENTU serta keputusan SENAT UNIVERSITI MASING-MASING.
Bezanya hari ini, (KPT) mula memperjelaskan dan menyusun laluan tersebut dalam kerangka dasar yang lebih RASMI, TERSUSUN dan TELUS di peringkat nasional, tetapi masih tertakluk kepada SYARAT AKADEMIK, MERITOKRASI dan AUTONOMI UNIVERSITI.





