Jangan Selalu Merungut dan Merengek

1. Kalau kita perhatikan suasana masyarakat hari ini, khususnya di media sosial, ada satu tabiat yang semakin menebal, merungut dan merengek. Hampir setiap perkara boleh menjadi bahan keluhan. Kadang-kadang perkara yang sama pun boleh dipertikaikan dari dua arah yang berbeza.

2. Diberikan cuti, ada yang marah kerana katanya pengumuman lambat. Tetapi apabila dimaklumkan lebih awal, nanti ada pula yang mempersoalkan kenapa tidak dimasukkan terus dalam takwim sejak awal tahun.

3. Dalam isu lain, seseorang bukan Muslim tidak memakai tudung, ada yang menuduh tidak menghormati agama. Tetapi apabila dia memakai tudung, ada pula yang sinis mengatakan itu sekadar politik murahan untuk menunjuk baik. Ada contoh lain-lain lagi.

4. Tapi, sebenarnya kita mahu mencari penyelesaian, mencari ketenangan, atau kita sekadar mahu marah-marah? Sebab politik kita politik kebencian. Lebih ramai pembenci, lebih baik untuk pulangan politik.

5. Fenomena ini menjadi lebih jelas dalam media sosial. Platform yang sepatutnya menjadi ruang perkongsian maklumat dan ilmu akhirnya menjadi medan meluahkan rasa tidak puas hati. Apa sahaja keputusan, walaupun dengan niat yang baik, cara yang baik, bahasa yang baik, masa yang baik, itu pun menjadi sasaran rungutan dan rengekan.

6. Dalam dunia pendidikan, perkara ini juga sering berlaku. Setiap kali dasar baharu diperkenalkan, hampir pasti akan ada reaksi rungutan. Padahal dalam kebanyakan keadaan, perubahan itu dibuat untuk memperbaiki sistem yang sedia ada.

7. Memang benar, setiap dasar baharu akan membawa cabaran dan kesukaran dalam pelaksanaannya. Namun jika kita menilai secara jujur, banyak perubahan sebenarnya membawa manfaat yang besar. Bukan unik kepada Malaysia, ya.. Semua negara hadapi ini.

8. Masalahnya ialah cara kita melihat. Kadang-kadang 95 peratus kebaikan ada di depan mata, tetapi perhatian kita hanya tertumpu kepada 5 peratus kekurangan. Yang kecil itu diperbesar-besarkan, yang besar pula tidak dihargai.

9. Hari-hari merungut. Hari-hari merengek. Sampai satu tahap, saya kadang-kadang terfikir, sepertinya orang yang terlalu tenggelam dalam budaya ini seolah-olah “terhijab” daripada melihat kebaikan.

10. Bukan kita menghukum sesiapa, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui keadaan hati manusia. Tetapi secara zahir, itulah yang kita lihat, seolah-olah mata hanya nampak kekurangan, tetapi sukar melihat nikmat.

11. Padahal dalam Al Quran, Allah telah memberikan peringatan yang sangat jelas tentang hubungan antara syukur dan kufur nikmat, dan saya pasti ramai tahu ayat ini, “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan nikmat kepadamu. Tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.” (Surah Ibrahim: 7)

12. Ayat ini sangat tegas. Ia bukan sekadar peringatan spiritual, tetapi juga panduan tentang bagaimana manusia sepatutnya melihat kehidupan. Syukur membuka pintu kelapangan. Kufur nikmat menutup pintu itu. Jelas Allah kata, AzabNya amat berat. Kita beriman atau tidak sebenarnya dengan Ayat Quran ni? 😢 Cuba kita tenang refleksi diri.

13. Di sinilah Ramadan sebenarnya menjadi madrasah yang sangat penting. Ramadan bukan sekadar latihan menahan lapar dan dahaga. Ia adalah medan tarbiyah jiwa. Ia menguji sama ada hati kita masih mampu melihat nikmat, atau sudah terlalu tenggelam dalam keluh kesah.

14. Ramadan juga bulan Al Quran. Maka logik nya, jika kita ingin memperbaiki diri, kita kembali kepada panduan yang diturunkan oleh Allah. Kita melihat bagaimana al-Quran mendidik manusia supaya tidak menjadi hamba kepada emosi, tetapi menjadi insan yang sabar, tenang dan bersyukur.

15. Dalam hadis pula, Baginda mengajarkan bahawa kehidupan orang beriman sentiasa berada dalam kebaikan. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, jika ditimpa kesusahan dia bersabar. Dua sikap ini membentuk jiwa yang seimbang. Jika berjaya gembira, jika gagal, cuba lagi.

16. Inilah asas kepada daya tahan. Tanpa daya tahan, manusia mudah gelisah. Sedikit kesukaran sudah menjadi alasan untuk mengeluh. Sedikit perubahan sudah dianggap sebagai beban yang tidak tertanggung. Setiap cabaran dianggap masalah, dianggap kekurangan, dianggap kelemahan, dan akhirnya menganggap kegagalan.

17. Tetapi masyarakat yang kuat bukan masyarakat yang bebas daripada masalah. Masyarakat yang kuat ialah masyarakat yang mampu menghadapi masalah dengan sabar, rasional dan penuh kesyukuran.

18. Sebab itu dalam kerangka Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, kemenjadian murid tidak boleh dilihat hanya melalui pencapaian akademik. Ia mesti merangkumi pembinaan karakter. Antaranya ialah sikap sabar, syukur, disiplin diri dan daya tahan menghadapi kesukaran. Dalam RPM, kita sebutnya sebagai murid yang Beradab.

19. Jika nilai ini berjaya ditanam, kita akan melahirkan generasi Madani yang matang dalam berfikir, matang dalam bertindak dan matang dalam menghadapi kehidupan.

20. Setiap hari kita sebenarnya membuat pilihan, sama ada terus merungut dan merengek tentang perkara yang di luar kawalan kita, atau bangun bersyukur atas nikmat yang masih ada dan berusaha memperbaiki apa yang kita mampu.

Inilah didikan Ramadan yang sebenar, membina manusia yang tidak sibuk merungut tentang kehidupan, tetapi sibuk membina kehidupan yang diredhai Tuhan.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top