Seragam Sekolah
Ada keputusan pentadbiran yang tidak pernah diangkat sebagai dasar besar negara. Ia tidak memerlukan pindaan akta, tidak mengubah kurikulum, dan tidak menentukan hala tuju peperiksaan. Namun keputusan-keputusan beginilah yang diam-diam menyentuh kehidupan seharian rakyat, dari dapur rumah, ke almari pakaian, hingga ke cara ibu bapa mengurus belanja persekolahan anak-anak. Penyelarasan pakaian seragam sekolah ialah salah satu contoh keputusan ekosistem pendidikan yang kecil pada rupa, tetapi besar pada kesannya.










