Islam Menolak Keganasan

Ada satu kecenderungan yang semakin membimbangkan dalam masyarakat kita hari ini. Ramai yang mahu bercakap atas nama Islam. Ramai yang mendakwa sedang mempertahankan agama. Ramai yang menggunakan istilah “perjuangan Islam”. Tetapi persoalan saya, adakah cara yang digunakan itu benar-benar cara Islam? Ini soalan yang penting. Malah sangat penting.

Kerana dalam Islam, matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Jalan perjuangan itu sendiri mesti tunduk kepada panduan wahyu. Islam bukan sekadar apa yang kita perjuangkan, tetapi bagaimana kita memperjuangkannya.

Al-Qur’an telah memberikan panduan yang sangat jelas “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Perhatikan ayat ini dengan teliti. Tuhan tidak sekadar memerintahkan supaya menyeru kepada kebenaran. Tuhan juga menetapkan cara menyeru itu. Hikmah. Nasihat yang baik. Dialog yang beradab.

Maknanya jelas. Dalam Islam, cara membawa agama tidak boleh dicipta sendiri mengikut emosi atau kemarahan. Ia mesti mengikuti disiplin yang ditunjukkan oleh wahyu dan diteladani oleh Nabi.

Nabi Muhammad SAW membawa risalah Islam selama 23 tahun. Baginda berhadapan dengan penghinaan, ancaman, pemulauan ekonomi, malah percubaan membunuh. Namun sejarah tidak pernah mencatat bahawa Nabi mengajar umatnya membalas provokasi dengan tindakan liar, keganasan atau intimidasi terhadap masyarakat. TIDAK PERNAH!

Sebaliknya, Nabi membina masyarakat melalui kesabaran, kebijaksanaan dan kekuatan akhlak.

Inilah sebabnya Al-Qur’an memberi satu peringatan yang sangat mendalam, “Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan menghina Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan.”

(Surah al-An‘am: 108)

Ayat ini mengajar satu disiplin besar dalam dakwah dan perjuangan Islam, fikirkan akibat sosial daripada tindakan kita. Jangan sampai kononnya kita mahu mempertahankan agama, tetapi akhirnya membuka ruang kepada penghinaan terhadap agama itu sendiri.

Malangnya hari ini, ada pihak yang seolah-olah mahu memperjuangkan Islam dengan cara yang tidak pernah diajar oleh Islam. Emosi dijadikan strategi. Provokasi dijadikan pendekatan. Tekanan sosial dijadikan alat.

Lebih pelik lagi, semua itu dilakukan atas nama mempertahankan agama. Ini satu kekeliruan yang perlu ditegur dengan tegas.

Islam tidak memerlukan keganasan untuk dipertahankan. Islam tidak memerlukan intimidasi untuk dihormati. Dan Islam sama sekali tidak pernah mengajar umatnya mengambil tindakan di luar kerangka undang-undang.

Perjuangan Islam bukan sekadar tentang keberanian bersuara. Ia juga tentang disiplin akhlak dalam bertindak.

Jika benar kita mahu membawa nama Islam, maka jalannya mestilah jalan yang ditunjukkan oleh Nabi. Jika benar kita mahu memperjuangkan agama, maka caranya mestilah cara yang diajar oleh Al-Qur’an.

Tiada jalan lain.

Kerana dalam Islam, cara yang menyimpang daripada wahyu akhirnya akan merosakkan perjuangan itu sendiri.

Kita perlu berani mengatakan perkara ini dengan jujur, tidak semua yang melaungkan nama Islam sebenarnya membawa Islam dengan cara Islam. Sebahagian hanya membawa emosi. Sebahagian membawa sentimen. Sebahagian membawa kemarahan & kebencian yang dibungkus dengan slogan agama.

Tetapi Islam bukan agama slogan. Islam adalah agama wahyu. Agama disiplin. Agama hikmah. Agama rahmah, bukan marah-marah.

Dan di sinilah Ramadan datang mengingatkan kita semula. Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ramadan adalah madrasah akhlak. Bulan yang melatih manusia menahan marah, menundukkan ego dan membersihkan niat.

Nabi sendiri mengingatkan bahawa apabila seseorang berpuasa, dia tidak boleh membalas provokasi dengan kemarahan, bahkan dia diajar untuk berkata, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.”

Maknanya jelas. Ramadan melatih kita menjadi manusia yang kuat mengawal diri, bukan manusia yang cepat bertindak mengikut emosi.

Jika benar kita mahu memperjuangkan Islam, maka Ramadan sepatutnya menjadikan kita lebih tenang, lebih berhikmah dan lebih beradab dalam menghadapi perbezaan. Kerana pada akhirnya, kekuatan Islam tidak pernah terletak pada suara yang paling keras.

Tetapi pada akhlak yang paling tinggi.

Saya berdiri bersama-sama ABIM dalam hal ini.

DR

image

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top